Ibu tunggal tabah besarkan anak

in Edisi by


PENDANG – Meskipun memegang status ibu tunggal di usia agak muda, Noor Haslinda Abdullah, 36, tetap fokus mencari rezeki bagi membesarkan tiga anaknya yang masih kecil.


Haslinda berkata, cabaran hidup terlalu hebat dari segi kewangan, namun sampai bila dia perlu meratap.


“Bagi saya sesuatu perlu dilakukan demi kehidupan anak-anak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jelutong, semalam.


Menurutnya, tiga anaknya berusia 5 hingga 12 tahun memerlukan perbelanjaan memandangkan mereka semua sudah bersekolah.


“Waktu siang saya bekerja sebagai guru di sebuah akademi autisme. Tapi gaji di sana RM700, tidak cukup untuk saya sara keperluan anak saya.


“Mahu tak mahu, berbekalkan kemahiran yang ada saya ambil tempahan roti bagi membolehkan keperluan anak-anak dipenuhi. Alhamdulillah, Jabatan Zakat dan Ahli Parlimen Pendang ada bantu sumbangkan mesin. Dengan menggunakan mesin tersebut saya buat roti dan jual,” katanya.


Tambahnya, istilah rehat hanyalah pada waktu tidur.


“Balik kerja dari Akademi Autisme, saya terus masuk ke bengkel roti dan siapkan tempahan. Tapi hasil yang saya dapat tak ada lah banyak mana, sebulan dapat sekitar RM700 hingga RM800.


“Campur dengan duit gaji, dapatlah dalam RM1,400 sebulan untuk saya sara tiga anak,” katanya.


Haslinda berkata, dia agak runsing memikirkan anak sulung yang bakal memasuki sekolah menengah pada tahun hadapan.


“Lepas ni makin tinggilah keperluan sekolah dia yang perlu saya penuhi.


“Saya sangat berharap dapat membesarkan anak-anak saya dengan baik seperti kanak-kanak lain,” katanya menahan sebak.


Bagaimanapun, dia bersyukur kerana arwah ibu bapanya menyerahkan rumah pusaka kepadanya.


“Boleh saya menumpang teduh meskipun bumbung rumah bocor,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]