Inisiatif baharu untuk masyarakat India diperkenal

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan akan memperkenalkan inisiatif baharu untuk masyarakat India iaitu pengagihan khas Permodalan Nasional Berhad sebanyak 1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia yang terhad kepada 30,000 unit bagi setiap pelabur,  kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.


Sewaktu membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, beliau berkata bagi menyokong inisiatif itu, dana sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk tempoh lima tahun bagi satu skim pinjaman pelaburan khas.


“Ia akan ditawarkan kepada 100,000 isi rumah daripada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) masyarakat India, terhad kepada 5,000 unit setiap peserta,” kata Najib, yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan bajet bertemakan ‘Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi, Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) ‘.


Menurutnya, kerajaan juga akan memperuntukkan tambahan RM50 juta melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) untuk program pembangunan sosio-ekonomi masyarakat India sebagai salah satu langkah mensejahterakan kumpulan sasar tersebut.


Katanya, Tekun sebelum ini memperuntukkan RM50 juta untuk Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India yang memanfaatkan lebih 35,000 usahawan dari kalangan masyarakat India.


Najib berkata sejak Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB)  dilancarkan pada 23 April lepas, purata pendapatan bulanan isi rumah masyarakat itu menunjukkan kadar pertumbuhan tinggi iaitu 6.8 peratus setahun.


“Pada masa sama, melalui MIB juga, pengambilan kaum India ke instusi pengajian tinggi awam dan perkhidmatan awam akan ditingkatkan dengan sasaran pengambilan baharu iaitu tujuh peratus. Di bawah Unit Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India (Sedic), lebih RM230 juta telah diagihkan sejak 2014, memanfaatkan lebih 500,000 peserta kaum India,” katanya.


Menyentuh mengenai kebajikan masyarakat Cina, Najib berkata kerajaan akan menyalurkan tambahan RM30 juta kepada Yayasan Peniaga dan Penjaja Kecil 1Malaysia untuk memberi pinjaman kepada penjaja komuniti Cina.


“Sebagai suatu bajet yang inklusif, kerajaan turut menyediakan RM50 juta untuk pinjaman Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui Koperasi Jaya Diri Malaysia Bhd (Kojadi),” katanya.


Perdana menteri juga mengumumkan RM65 juta untuk tujuan pembangunan Kampung-kampung Baru Cina dan RM10 juta lagi bagi program membaik pulih rumah.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]