June Wei terus tampil aksi terbaik

in Sukan by


PEMAIN perseorangan lelaki remaja negara, Cheam June Wei meneruskan aksi cemerlang apabila mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Cabaran Antarabangsa Indonesia di Semarang, Indonesia hari ini.


Pemain pilihan ketujuh itu hanya mengambil masa 39 minit untuk menewaskan pemain tuan rumah yang juga pilihan ke-16, Krishna Adi Nugraha; 21-19 dan 21-16 pada pusingan ketiga kejohanan itu yang berlangsung di Universitas Gelora Semarang, menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF)  www.bwfbadminton.com.


Turut mara ke pusingan lapan pemain terbaik itu adalah seorang lagi pemain kebangsaan, Soo Teck Zhi yang menumpaskan seorang lagi pemain tuan rumah, Ikhsan Leonardo Imanuel Rumbay; 21-12 dan 21-11.


Cabaran Malaysia dalam tiga kategori lain – beregu lelaki, perseorangan wanita dan beregu campuran – berakhir selepas kesemua wakil negara dikalahkan lawan masing-masing.


Sementara itu, pasangan beregu lelaki yang baru digandingkan, Goh V Shem/Teo Ee Yi gagal meneruskan kemaraan pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Perancis selepas tumpas 9-21 dan 9-21 kepada pilihan kelima, Liu Cheng/Zhang Nan dari China pada kejohanan berlangsung di Stade Pierre de Coubertin di Paris, pada Khamis. – Bernama

 


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]