Kerajaan kurangkan kadar cukai pendapatan individu

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan akan mengenakan pengurangan kadar cukai berpendapatan individu pemastautin untuk 2.3 juta pembayar cukai terutamanya bagi golongan M40 atau lebih khususnya isi rumah berpendapatan RM9 ribu ke bawah.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat berkata langkah itu akan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat antara RM300 hingga RM1,000, serta bertujuan bagi merapatkan lagi jurang pendapatan di Malaysia.


“Ini bermakna, dianggarkan sejumlah RM1.5 bilion lebihan pendapatan boleh guna dapat dibelanjakan oleh rakyat. Dengan langkah ini juga, lebih 261 ribu orang kini tidak perlu lagi membayar cukai pendapatan,” katanya.


Antara langkah yang diambil, jelasnya ialah mengurangkan kadar cukai pendapatan individu pemastautin sebanyak dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara RM20 ribu hingga RM70 ribu.


Bagi banjaran pendapatan bercukai daripada RM20,001 sehingga RM35,001, kadarnya diturunkan daripada lima peratus kepada tiga peratus; banjaran pendapatan bercukai daripada RM35,001 sehingga RM50,000, sepuluh peratus kepada lapan peratus.


Dan bagi banjaran pendapatan bercukai daripada RM50,001 sehingga RM70,000, Najib berkata kadarnya diturunkan daripada 16 peratus kepada 14 peratus.


Selain itu, perdana menteri berkata, kerajaan melalui Bajet 2018 akan turut mengekalkan subsidi sebanyak RM3.9 bilion bagi barangan dan pengangkutan, termasuk gas memasak, tepung, minyak masak, elektrik, dan tol. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]