Kertas UPSR bocor: Guru diarah bela diri

in Semasa by


TAIPING – Mahkamah Tinggi Taiping,  di sini hari ini memerintahkan seorang guru bahasa Inggeris dan Tamil untuk tampil membela diri di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, Selasa depan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie membabitkan kesalahan yang dihadapinya iaitu memiliki kertas soalan bocor bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014.


Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar telah melepas dan membebaskan tertuduh, P. Uma Mageswari, 30, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 selepas 20 hari perbicaraan.


Bagaimanapun, pihak pendakwaan telah membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi, di sini selepas terdapat percanggahan fakta sewaktu keputusan terhadap tertuduh ditetapkan.


Hakim Asmadi Hussin memerintahkan Uma Mageswari memberi keterangan di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar Selasa ini agar kes tersebut diteruskan di peringkat pembelaan untuk tertuduh membela diri.


Terdahulu, Uma Mageswari didakwa memiliki beberapa kertas soalan UPSR bagi subjek Sains dalam telefon bimbit, di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Keruh, Pengkalan Hulu tempat beliau mengajar sebelum ini pada 10 September 2014.


Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada 25 Julai tahun lalu melepas dan membebaskan tertuduh selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.


Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim.


Manakala tertuduh diwakili peguam, M. Kulasegaran.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]