Khalid sambut baik langkah mansuhkan tol Shah Alam

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengalu-alukan usaha kerajaan memansuhkan kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau mulai tahun depan.


Khalid berkata, beliau bersyukur akhirnya kerajaan akur dengan saranan pembangkang yang mendesak tindakan tersebut selama ini.


“Memang kita (pembangkang) sudah katakan selama ini yang tidak ada keperluan bagi kutipan tol di kedua tol berkenaan.


“Bila kerajaan mansuhkan, bermakna kerajaan juga akui yang tidak perlu pun wujudnya tol di situ. Sebelum ini kerajaan banyak berdalih dengan bermacam alasan untuk mengelakkan langkah pemansuhan diambil,” katanya kepada Sinar Online, di sini, hari ini.


Kerajaan menerusi Bajet 2018 hari ini mengumumkan pemansuhan kutipan tol tertentu di Selangor, Kedah, dan Johor.


[ARTIKEL BERKAITAN: Bajet 2018: Kerajaan mansuh tol Batu Tiga, Sungai Rasau]


Berita gembira itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini.


Difahamkan, langkah pemansuhan akan mula dilaksanakan mulai 1 Januari 2018.


Ditanya adakah langkah itu dibuat dengan tujuan meraih undi rakyat bagi pilihan raya, Khalid menyifatkan, ia hanyalah salah satu pemberian gula-gula oleh kerajaan.


“Sebenarnya daripada dulu lagi patut buat? Apa lagi puncanya kalau bukan sebab PRU14?” soalnya lagi.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]