Krisis opioid kini 'kecemasan kesihatan umum nasional'

in Global by


WASHINGTON – AMERIKA SYARIKAT. Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis mengisytiharkan krisis opioid sebagai ‘satu kecemasan kesihatan umum nasional’ di negara itu, lapor agensi berita China Xinhua.


Dalam satu ucapan di Rumah Putih, Trump berkata wabak yang semakin menular itu tidak mengecualikan “mana-mana bahagian” di negara itu, dan berjanji pentadbiran beliau akan membelanjakan ‘wang yang banyak’ untuk mencari penahan sakit tanpa ketagihan.


“Wabak ini adalah kecemasan kesihatan umum nasional. Tiada siapa yang pernah melihat sebarang kejadian seperti yang berlaku sekarang.


“Menanganinya memerlukan semua usaha kita dan kita terpaksa berdepan dengan segala kerumitan yang terdapat dalam krisis ini,” kata presiden itu yang diiringi Wanita Pertama AS, Melania Trump.  


Trump berkata penggunaan opioid telah menjejaskan lebih dua juta rakyat Amerika di seluruh negara, dan jumlahnya semakin meningkat.


“Tiada negeri yang terselamat, dan tiada demografi yang tidak disentuh,” katanya.


Berikutan pengisytiharan Trump, kerajaan persekutuan AS akan mengecualikan beberapa peraturan, memberikan negeri lebih banyak fleksibiliti tentang bagaimana mereka menggunakan dana persekutuan dan memperluas penggunaan rawatan teleperubatan, menurut pembantu Rumah Putih yang memberi taklimat kepada pemberita pada pagi Khamis.


Kecemasan itu akan berlangsung selama 90 hari namun ia boleh diperbaharui berulang kali.


Kali terakhir kecemasan kesihatan awam nasional sebesar ini di AS diisytihar pada 2009 sebagai tindak balas kepada virus selesema H1N1. Pengambilan dos dadah yang berlebihan kini menjadi  punca kematian akibat kecederaan di negara ini.


Penggunaan opioid, yang meningkat secara mendadak di AS sejak peralihan abad, telah dipersalah dalam hal ini.


Opioid ialah bahan kimia yang merangsang reseptor opioid, sejenis sel yang dijumpai di otak, saraf tunjang dan saluran gastrousus. Dalam bidang perubatan, opioid digunakan sebagai analgesik.


Opioid tidak mempunyai dos maksimum jadi ia boleh digunakan untuk merawat barah yang kronik asalkan pengambilannya dibuat secara perlahan-lahan bagi membenarkan badan membiasakan diri dengan dadah tersebut dan kesan sampingannya menghilang.


Penyalahgunaan opioid berpunca daripada kemampuannya menyebabkan euforia, satu keadaan keriangan dan kegembiraan yang abnormal. Oleh sebab badan mudah melakukan penyesuaian dengan euforia, penyalahguna akan terus menaikkan dos opioid.


Jika dos itu dinaikkan secara mendadak, pernafasan akan terganggu dan kematian mungkin berlaku. – Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]