Lebih 40 tahun urus jenazah

in Edisi by


PASIR PUTEH – Seorang penduduk yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam pengurusan jenazah memperturunkan ilmunya kepada warga Sekolah Kebangsaan (SK) Seligi.


Che Mud Mamat atau lebih dikenali sebagai Ayah Mud dijemput pihak sekolah berkenaan bagi menjayakan Ceramah dan Latihan Amali Pengurusan Jenazah, kelmarin.


Menurut Ayah Mud, dia tidak berkeberatan untuk mengajar murid sekolah berkenaan kerana setiap kampung perlu ada kumpulan pelapis yang akan berkhidmat kepada penduduk.


Katanya, agak malang apabila dalam satu-satu kampung tidak ada yang berkemahiran dalam menguruskan jenazah.


“Kita tidak mahu apabila berlaku kematian, tidak ada orang yang boleh menguruskan jenazah yang menyebabkan kita terpaksa menggunakan khidmat orang dari kawasan lain,” katanya.


Sementara itu, Ketua Panitia Pendidikan Islam SK Seligi, Mat Asri Mat Ali berkata, khidmat anggota masyarakat itu penting dalam melahirkan ramai kumpulan pelapis untuk menguruskan jenazah.


“Sasaran kita adalah murid tahun lima dan enam, ia juga sebagai aktiviti pasca UPSR.


“Saya berharap generasi hari ini dapat memanfaatkan ilmu yang diperturunkan Ayah Mud,” katanya.


Program anjuran Unit Pendidikan Islam sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut membabitkan ibu bapa murid yang menterjemahkan penglibatan ibu bapa dan komuniti.


Sementara itu, guru besar sekolah berkenaan, Othman Awang berkata, sekolah akan terus menggalakkan ibu bapa menyertai aktiviti di sekolah berkenaan.


“Kita mahu terus melihat penduduk kampung yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu berkongsi dengan murid sekolah ini,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]