Penunggang motosikal maut digilis treler

in Edisi by


KUALA LANGAT – Seorang penunggang motosikal maut selepas digilis sebuah treler di Kilometer 14.3 Lebuhraya Elite menghala ke utara, dekat sini, hari ini.


Mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki Smash dan dikenali sebagai Mat Buri, 27, disahkan maut di lokasi kejadian.


Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, sebuah kereta yang dipercayai kehabisan minyak berhenti di lorong kecemasan tiba-tiba dilanggar dari arah belakang oleh mangsa.


Menurutnya, pelanggaran itu menyebabkan mangsa terjatuh di lorong tengah jalan sebelum sebuah treler gagal mengelak lalu menggilis mangsa.


“Mangsa yang berasal dari Indonesia parah di badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.


“Pemandu treler bagaimanapun tidak dapat dikesan dan dipercayai melarikan diri,” katanya.


Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat.


Katanya, siasatan masih dijalankan untuk mengesan pemandu treler terbabit bagi membantu siasatan.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]