Penyu cedera dirawat di FRI

in Edisi Terengganu by


DUNGUN – Seekor daripada empat penyu diselamatkan nelayan di kedudukan 22 batu nautika dari Pantai Kuala Kerteh, kelmarin dihantar ke Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang untuk rawatan.


Dalam kejadian itu, dua penyu spesies agar dan dua penyu spesies karah yang tersangkut pada pukat hanyut diselamatkan lima nelayan yang kebetulan melalui kawasan tersebut.


Tiga dilepaskan semula ke laut, tetapi seekor daripadanya mengalami kecederaan dan nelayan mengambil keputusan menghantar ke FRI Rantau Abang.


Ketua Cawangan Mamalia Marin FRI Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata, setelah diperiksa, penyu berkenaan didapati dalam keadaan cedera iaitu kaki renang hampir putus, terdapat gelembung udara dalam badan, sangat kurus dan kelaparan.


[ARTIKEL BERKAITAN: Empat ekor penyu diselamatkan nelayan]


Menurutnya, keadaan itu menyebabkan reptilia tersebut tidak boleh berenang dengan normal dan bahaya jika dilepaskan ke laut.


“Penyu ini diserahkan kepafa FRI pada jam 10 pagi tadi (semalam) untuk proses menyelamat dan rawatan pemulihan semula. Saiz penyu karah ini sepanjang 30 sentimeter (cm), lebar 22cm dengan berat 2.5 kilogram.


“Kes seperti ini sering berlaku dan terdapat lebih kurang empat kes setahun. Biasanya semua penyu yang dirawat di FRI Rantau Abang akan kembali pulih sebelum dilepaskan semula ke habitatnya dalam tempoh tiga hingga enam bulan. Kita akan pastikan spesies terancam ini betul-betul sihat, barulah akan dilepaskan semula ke laut,” katanya kepada pemberita.


Beliau yang juga pegawai penyelidik perikanan berkata, bagi membantu usaha melindungi spesies terancam tersebut, masyarakat khususnya nelayan diminta memberi kerjasama dan segera menghubungi jabatan perikanan sekiranya berdepan situasi sedemikian.


“FRI Rantau Abang sudah biasa dengan tugas merawat spesies marin terancam yang tercedera. Diharap semua masyarakat menjadikan kes ini sebagai iktibar dan sekiranya berdepan insiden sama , segera menghubungi jabatan perikanan.


“Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan spesies ini terus bertahan dan tidak pupus,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]