Permohonan Anwar hadir prosiding rayuan ditolak

in Semasa by


PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara untuk hadir pada prosiding pendengaran permohonannya bagi kebenaran untuk merayu berhubung hak mengundi pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Mei  2015.


Panel tiga hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin  semasa menolak permohonan Anwar itu, memutuskan tiada keterangan pada ketika ini yang menunjukkan kehadirannya diperlukan dalam permohonannya bagi kebenaran untuk merayu.


“Kami mendapati pemohon ialah seorang banduan dan tertakluk kepada Seksyen 30 (1) Akta Penjara 1995,” katanya dan menurutnya tiada keperluan untuk mahkamah melaksanakan budi bicaranya untuk membenarkan  Anwar hadir pada pendengaran itu.


Seksyen  30 (1) menetapkan apabila kehadiran seorang banduan diperlukan di mahkamah mengikut kuasa sivil atau jenayah, mahkamah mungkin mengeluarkan perintah dalam bentuk tulisan dialamatkan kepada pegawai bertugas yang memerlukan kehadiran banduan di tempat dan masa yang ditetapkan dalam perintah.


Dua lagi hakim yang bersidang dalam panel itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha.


Anwar,  69, sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh bagi kesalahan meliwat, memohon untuk menghadiri pendengaran permohonannya bagi kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan yang ditetapkan pada 15 Disember.


Peguam mewakili Anwar,  Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah anak guamnya itu mempunyai hak di sisi perlembagaan untuk hadir pada mana-mana prosiding litigasi yang dirinya adalah pihak.


Beliau berkata  Anwar mengekalkan hak sivil litigasinya walaupun beliau berada dalam penjara dan patut diberikan akses untuk memberi arahan kepada peguam belanya semasa perkara itu didengar.


Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh berkata hak  Anwar untuk hadir di mahkamah bergantung kepada budi bicara mahkamah untuk memutuskan sama ada kehadiran banduan diperlukan di mahkamah.


Beliau berkata dalam kes ini, permohonan Anwar bagi kebenaran untuk merayu akan didengar sepenuhnya berdasarkan dokumen yang tidak memerlukan kehadirannya.


Menurutnya, permohonan itu memerlukan perintah untuk hadir (OTP) dikeluarkan untuk membolehkan Anwar untuk menghadiri pendengaran permohonan bagi kebenaran untuk merayu dan keputusan pendaftar mahkamah menolaknya adalah betul.


Pada 13 Jun tahun ini,  Anwar kalah dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya bagi pengisytiharan bahawa beliau berhak mengundi dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei  2015.


Pada 15 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai bidang kuasa untuk membawa Anwar ke pusat pengundian untuk mengundi dalam mana-mana pilihan raya.


Ia memutuskan seorang banduan yang telah  berdaftar sebagai pemilih sebelum disabitkan mempunyai hak untuk mengundi tetapi SPR tidak mempunyai bidang kuasa untuk membawanya ke pusat pengundian untuk mengundi dalam mana-mana pilihan raya.


Mahkamah  Tinggi memutuskan banduan terbabit perlu memohon kepada ketua pengarah Jabatan Penjara  untuk mengambil langkah perlu bagi membenarkan seseorang banduan mengundi. – Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]