Perniagaan boleh terjejas

in Nasional by


CADANGAN untuk menaikkan harga sekotak rokok sehingga RM50 walaupun matlamat asal adalah untuk mengurangkan kuasa beli ke atas remaja dan belia, namun secara tidak langsung meninggalkan kesan ketara kepada peniaga.


Peniaga kedai runcit, dari Semenyih Selangor, Mohd Husna Osman berkata, sebagai penyedia perkhidmatan, selagi wujudnya permintaan, peniaga akan cuba memenuhi, meskipun terpaksa mengeluarkan modal tinggi ekoran adanya kenaikan harga.  


“Daripada pemerhatian saya, tiada remaja dan belia yang beli rokok pada harga tinggi, contohnya seperti jenama yang dijual pada RM17 sekarang, pembeli utama adalah kalangan dewasa dan golongan yang mempunyai pendapatan.


“Bila adanya kenaikan, tempiasnya terkena pada semua pihak, dan kami akan menerima kesan awal, tambah modal, tapi barang tidak dapat sambutan pembeli,” kepadanya kepada Sinar Harian.


Beliau berkata, apabila barang tidak laku, timbul pula masalah lambakan barang, dan berkemungkinan besar boleh mengakibatkan barang akan tamat tempoh.


“Ketika kenaikan dalam RM0.50, kemudian menjadi RM1 pengguna tidak begitu merungut, dan urus niaga berjalan seperti biasa.


“Bagaimanapun, selepas harga itu mencecah RM17 sekotak, jualan untuk rokok jenama terkenal terus merosot. Dulu saya boleh jual sehingga 17 karton seminggu, sekarang hanya dua karton sahaja seminggu. Kalau dinaikkan pula kepada RM50, kesannya lagi ketara,” katanya.


Mohd Husna berkata, langkah dan cadangan ke arah usaha berhenti merokok sentiasa disambut baik, namun pelbagai aspek perlu diteliti secara menyeluruh.


Selain itu beliau berkata, perokok tegar akan mencari harga alternatif untuk mendapatkan barangan tersebut, dan ia sudah tentu menyebabkan permintaan terhadap rokok seludup meningkat.  


“Saya yakin pengguna tetap akan beli rokok walaupun ada kenaikan, tentang rokok apa yang mereka ambil itu kita tak boleh kesan, mungkin dia tak ambil yang RM50, tapi dia beralih kepada rokok seludup,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]