Peruntukan Bajet 2018 meningkat kepada RM280.25 bilion

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Bajet 2018 menyaksikan peningkatan dalam peruntukan, dengan jumlah RM280.25 bilion berbanding RM260.8 bilion dalam Bajet 2017.


Daripada jumlah tersebut, RM234.25 bilion adalah bagi perbelanjaaan mengurus dan RM46 bilion lagi bagi perbelanjaan pembangunan.


Ini tidak termasuk simpanan luar jangka sebanyak RM2 bilion, kata beliau semasa membentangkan Bajet 2018 yang bertemakan “Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi, Menjuru Aspirasi TN50” di Dewan Rakyat hari ini.


“Bajet yang digubal ini adalah yang paling penting kerana, ia merupakan satu rumusan kepada prakarsa-prakarsa yang telah memacu ekonomi negara semenjak saya menjadi Perdana Menteri sebermulanya tahun 2009.


“Ia sebetulnya juga, menjadi antara ‘report card’ utama kepada rakyat dan kerajaan pimpinan saya, sepanjang dua penggal tempoh pentadbiran kerajaan ini,” kata Najib yang tampil segak dengan berbaju Melayu biru.


Bagi tahun 2018, kutipan hasil kerajaan persekutuan dijangka mencecah RM239.86 bilion.


Defisit fiskal negara dianggarkan pada 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017 daripada 6.7 peratus pada 2009 dan akan terus dikurangkan kepada 2.8 peratus pada 2018


Ekonomi Malaysia dijangka mencapai kadar pertumbuhan tahunan antara 5.2 peratus dan 5.7 peratus pada 2017, lebih tinggi daripada unjuran pada Mac lepas iaitu 4.3 peratus hingga 4.8 peratus.


Malaysia mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada kadar  5.7 peratus pada separuh pertama tahun ini. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]