Rayu sumbangan kaki palsu

in Edisi Utara by


BAGAN AJAM – Seorang lelaki warga emas memohon bantuan kaki palsu bagi memudahkan pergerakannya yang kudung kaki kanan akibat diabetes.


E Savariappan, 64, berkata, dia kini bergerak hanya dengan menggunakan kerusi roda.


“Lepas kaki saya kena potong, saya ada terima bantuan kaki palsu tiga tahun lepas.


“Sekarang kaki palsu saya dah tak boleh guna sebab hanya tahan dua tahun. Kalau pakai pun dah tak sesuai sebab rosak,” katanya.


Susulan itu katanya, dia amat berharap untuk mendapatkan kaki palsu yang baharu.


“Kali terakhir saya tengok harga kaki palsu tu hampir RM8,000. Tu setahun lalu, sekarang tak pasti dah berapa harga.


“Saya pula memang tak bekerja, hanya harapkan bantuan anak-anak. Dalam keadaan kewangan yang tak stabil ni, memang tak mampu nak beli,” katanya.


Anaknya, S Tonyraj, 36, berkata, ayahnya sekarang dijaga isterinya.


“Saya tinggal sekali dengan ayah, jadi isteri saya dan adik-adik yang jaga ayah buat masa ini. Ibu kami dah hampir empat tahun meninggal dunia akibat masalah buah pinggang. Sekarang nak gerak ke mana-mana memang guna kerusi roda.


“Saya buat perniagaan kecil-kecilan ambil upah sewa untuk hantar barang, pendapatan pun tak seberapa. Tengok musim juga, adakala lebih, adakala kurang,” katanya.


Justeru katanya, dia berharap ada pihak sudi menyampaikan bantuan kaki palsu untuk ayahnya.


“Buat masa sekarang saya tak pernah mohon pada mana-mana pihak. Kalau ada pihak sudi nak bantu, memang saya alu-alukan.


“Bukan apa, kalau ayah pakai kaki palsu sedikit sebanyak mudah sikit dia nak bergerak ke mana-mana. Biasalah guna kerusi roda ini agak terbatas juga pergerakannya,” katanya.


Dalam pada itu, keluarga ini menerima kunjungan pihak Penyelaras Kadun Telok Air Tawar yang turut menyampaikan sumbangan sempena Deepavali di rumah mereka di Bagan Ajam.


Penyelaras Kadun Telok Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad berkata, kunjungan ini dibuat untuk meraikan masyarakat India sempena Deepavali.


“Biarpun Deepavali dah beberapa hari berlalu, namun pihak kami akan terus menerus memastikan tiada masyarakat India yang tercicir.


“Baru-baru ini juga pihak kami telah mengadakan rumah terbuka sempena Deepavali. Ini sekali gus memeriahkan sambutan perayaan bagi masyarakat India khususnya di Telok Air Tawar ini,” katanya.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]