Rebut tudung harga 60 sen

in Bisnes by


ORANG ramai berpusu-pusu menyerbu Mydin Mall USJ, Subang Jaya di sini, semalam bagi mendapatkan pelbagai rekaan tudung ditawar pada harga hanya 60 sen sehelai.


Tinjauan Sinar Harian mendapati sejak hari pertama, pelanggan termasuk golongan lelaki tidak melepaskan peluang memilih koleksi ditawarkan yang digantung di ruang pintu masuk ke pasar raya berkenaan.


Jurucakap Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) berkata, harga promosi bermula 26 hingga 31 Oktober, hanya ditawar kepada pemegang Kad Meriah Mydin.


Menurutnya, pelanggan boleh mendapatkan harga luar biasa sempena sambutan ulang tahun ke-60 Mydin itu di cawangan Mydin di USJ, Selangor; Gong Badak, Terengganu; Bukit Jambul, Pulau Pinang; Bukit Mertajam, Pulau Pinang; MITC Melaka, Seremban 2, Negeri Sembilan dan Meru Raya, Perak.


“Tiada had pembelian, namun pelanggan perlu membeli dalam gandaan enam helai untuk mendapatkan harga promosi.


“Harga asal tudung ini antara RM12.90 dan RM29.90. Namun kami tawar harga 60 sen bagi hargai kesetiaan ahli Kad Meriah,” katanya sambil memberitahu Mydin juga menganjurkan pertandingan dan menawarkan hadiah menarik kepada pembeli tudung 60 sen tersebut.


Menurutnya, sejak dari hari pertama pelanggan sudah mula menyerbu ruang jualan dan dijangkakan pelanggan akan mula bersesak hingga penghujung hari promosi.


“Stok akan sentiasa ditambah dan dianggarkan lebih 100,000 helai tudung ditawarkan di cawangan Mydin terlibat sepanjang tempoh promosi,” katanya.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]