Rokok mahal, moral jadi baik?

in Nasional by


SANGAT sukar bagi seorang perokok untuk mempertimbangkan keputusan berhenti merokok, lebih-lebih lagi secara drastik. Jika ditanya, ramai kalangan perokok tegar mengumpamakan sebatang rokok sebagai ‘nyawa’.


Tidak lengkap rasanya kehidupan seharian mereka tanpa rokok, malah ada yang lesu memulakan kegiatan seharian tanpa menghisap rokok.


Tidak seperti kebanyakan negara maju lain, rakyat Malaysia masih bebas merokok di tempat terbuka, kerana masih ada tempat yang belum diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.


Baru-baru ini, Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM), Ahmad Saparudin Yusuf dilapor memberi cadangan kerajaan menaikkan harga rokok sehingga RM50 sekotak dalam Bajet 2018.


Beliau berkata, alasan utama kenaikan harga itu adalah bagi menjadikan rokok sebagai satu barangan mahal sehingga tidak mampu dibeli, sekali gus golongan remaja dan belia sukar mendapatkannya.


Susulan cadangan itu, pelbagai pandangan diterima kerana ia secara tidak langsung mengundang banyak perspektif. Ikuti laporan yang disediakan wartawan, SALWANI MD ZAIN.


Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu, sekiranya barangan seperti rokok dinaikkan sehingga RM50 sekotak, ia akan mengundang permasalahan sosial kepada institusi kekeluargaan.


Biarpun cadangan itu dijangka boleh memberi kesan kepada usaha mengurangkan remaja dan belia membeli rokok, realitinya ia perlu seiring dengan penguatkuasaan yang dipertingkat kerana berkemungkinan wujud beberapa isu sampingan lain.

Mohd Yusof


Kaunselor dari Universiti Putra Malaysia (UPM), CR Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, jika ada kes anak sanggup bertindak agresif terhadap ibu atau penjaga semata-mata untuk beli dadah, perkara sama boleh berlaku jika mereka terdesak untuk beli rokok.


Beliau berkata, ilmu tentang bahaya merokok perlu disemai, malah langkah pencegahan secara lebih mendalam perlu diperkasa terutama menyemai didikan sejak dari kecil, sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah, institusi pengajian tinggi, mahupun masyarakat.


“Pada saya naik harga tak jamin budaya merokok dikurangkan, juga tak jamin jenayah sosial, moral remaja menjadi lebih baik, perkara ini harus dipupuk daripada kecil.


“Di peringkat sekolah kena serius mengadakan kempen, terangkan kepada murid dan pelajar tentang bahaya merokok, kesan-kesannya, tampalkan di papan kenyataan,” katanya.


Selain itu, beliau berkata, semua pihak perlu tahu sedar tanggungjawab, setiap keluarga perlu dibentuk budaya bebas rokok, ini kerana seseorang individu yang membesar dalam budaya begitu, tidak mustahil apabila besar, dia juga terpengaruh melakukan benda sama.


“Misalnya, seorang anak sering melihat ayahnya merokok, adik-beradik pun sama, jadi bila besar, kebarangkalian peluang mereka turut serta amat tinggi, meskipun tidak melibatkan semua,” katanya.

Siti Fatimah


Beliau berkata, kalangan perokok di Malaysia kurang kesedaran sivik, terutamanya di tempat terbuka.


“Keadaan ini amat berbeza jika dibandingkan dengan negara lain. Korea contohnya, perokok tidak boleh hembus asap rokok sesuka hati kepada umum, terutama di tempat awam, dan mereka disediakan alatan khas,” katanya.


Siti Fatimah berkata, langkah pencegahan juga boleh dicapai sekiranya lebih banyak kempen digiatkan.


“Amat mendukacitakan apabila kempen kesedaran bahaya rokok kurang diuar-uarkan di sekolah, juga tidak begitu banyak di media massa.  


“Kalau nak tingkatkan harga boleh, tapi sejauh mana bila kita tingkatkan harga itu boleh jamin orang tidak merokok?,” soalnya.


Katanya, selagi budaya merokok tidak kurang, kempen-kempen tidak ditingkatkan, pelaksanaan hukuman juga longgar, naiklah seratus ringgit sekalipun, orang akan tetap merokok, malah gejala sosial juga bertambah.


Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, bantahan berhubung kenaikan rokok mungkin terjadi pada peringkat awal pelaksanaan, namun ia mampu diatasi sekiranya penguatkuasaan diperhebatkan.


“Perokok tegar mungkin pada peringkat awal akan bantah, sebab itu perlunya pelaksanaan undang-undang agar jualan secara runcit dipantau, begitu juga rokok seludup.


“Bila harga mahal, orang mula berfikir untuk cari alternatif, rokok murah yang senang diperoleh secara seludup mula jadi pilihan,” katanya.


Beliau berkata, Fomca sentiasa mengalu-alukan cadangan untuk membendung gejala seperti ini, kerana ia akan mengurangkan penawaran.


“Jika serius untuk tangani masalah ini, harus dipastikan rokok seludup itu juga dibanteras kerana penjualannya akan memburukkan lagi keadaan,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]