Salleh kritik 'Bajet Alternatif'

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan ‘Bajet Alternatif’ yang dikeluarkan Pakatan Harapan baru-baru sebagai tidak realistik dan mengabaikan ekonomi asas dan prinsip perakaunan.


Katanya bajet pembangkang adalah sekadar angan-angan kerana Pakatan Harapan mengetahui mereka tidak perlu menunaikannya kecuali jika mereka dapat berkuasa.


“Pakatan hanya mempermainkan harapan dan impian orang, dan buktinya ialah bajet yang tidak praktikal ini,” katanya menerusi blog beliau sskeruak.blogspot.my hari  ini.


Salleh menjelaskan bahawa peraturan asas perakaunan ialah pendapatan seseorang mesti sepadan atau melebihi perbelanjaan.


“Anda tidak boleh mengurangkan pendapatan anda sambil meningkatkan perbelanjaan dan mendapat keuntungan pada masa yang sama.


“Anda tidak boleh berbelanja lebih daripada apa yang anda perolehi. Negara-negara di Eropah termasuk United Kingdom sendiri menghadapi defisit yang besar kerana bajet mereka seperti apa yang dicadangkan oleh Pakatan Harapan.


“Adakah mereka tidak belajar apa-apa dari Eropah?,” kata Salleh yang juga Bendahari Umno.


Beliau berkata sebagai parti-parti yang menawarkan diri sebagai kerajaan alternatif, adalah amat mengecewakan untuk melihat politik tidak bertanggungjawab pihak pembangkang.


Justeru itu, beliau meminta Pakatan Harapan supaya menghentikan permainan sedemikian dan kembali kepada realiti.


Bajet alternatif itu diumumkan Pakatan Harapan pada Rabu lepas, yang mendahului Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]