Saman ke atas Pengarah Bestino Group ditolak

in Semasa by


IPOH – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak tindakan saman yang difailkan pemegang saham minoriti syarikat pelaburan emas Bestino Group Berhad terhadap dua pengarah dan dua pemegang saham majoriti syarikat itu.


Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali menolak tindakan saman pemegang saham minoriti yang menggunakan nama syarikat Bestino Group Berhad selaku plaintif tanpa perintah terhadap kos.


Dalam penghakimannya, Che Mohd Ruzima berkata plaintif tidak sepatutnya memulakan saman di bawah Seksyen 181(A) Akta Syarikat 1965 terhadap dua pengarah dan dua pemegang saham majoriti syarikat itu.


Sebaliknya,pemegang-pemegang saham minoriti sepatutnya menuntut saman terhadap syarikat pelaburan emas itu.


Plaintif diwakili peguam Effa Ruzana Anuar dan Yudistra Darma Dorai, manakala defendan diwakili R. Raj Shankar serta K.Kumaran.


Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh membenarkan permohonan 6,764 pemegang saham minoriti syarikat pelaburan emas berkenaan untuk meneruskan tindakan derivatif bagi  menentukan jika hak mereka ditindas.   


Pada Februari 2011, dua pengarah Bestino itu dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas 322 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM156 juta dan lima tuduhan menerima deposit tanpa lesen dalam tempoh dua tahun syarikat itu beroperasi.


Bank Negara pula merampas aset syarikat itu mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2011 berjumlah RM24.2 juta sebagai bahan bukti.


Kira-kira 200 orang pemegang saham minoriti syarikat itu hadir di Mahkamah Tinggi seawal pukul 8 pagi bagi mengikuti keputusan tindakan saman mereka.- Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]