Sebak terima ijazah bapa

in Uncategorized by


TANJUNG MALIM – Seorang anak tidak mampu menahan rasa sebak apabila menerima Anugerah Anumerta milik bapanya pada Istiadat Konvokesyen ke-19 Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Proton City, di sini.


Anis Fazlin Bong Suadi, 22, berkata, dia menerima anugerah mewakili Allahyarham bapanya, Bong Suadi Hashim yang meninggal dunia pada 31 Mei lalu akibat serangan jantung.


Katanya, bapanya mengambil Ijazah Sarjana Pendidikan (Psikologi Pendidikan) di Fakulti Pembangunan Manusia.


Anak tunggal itu mengakui, sering menemani Allahyarham ke Upsi untuk menyiapkan tugasan diberikan pensyarah.


“Malah sebulan sebelum sakit, saya datang teman arwah ayah ke Upsi untuk hantar tesis kepada pensyarahnya.


“Tetapi hari ini, kehadiran saya dan ibu terpaksa mewakili arwah ayah untuk menerima ijazah ini,” katanya.


Anugerah Anumerta disampaikan Pro Canselor Tan Seri Dr Zakri Abdul Hamid pada sidang kelima graduasi, pagi semalam.


Anis Fazlin yang juga Graduan YTL International Collage, Bukit Bintang itu mahu terus membahagiakan dan menggembirakan ibunya selain ingin mengikut jejak kejayaan Allahyarham ayahnya.


Dalam pada itu, isteri Bong Suadi, Norafiza Abu Bakar, 42, melahirkan rasa sedih namun bersyukur kerana Allahyarham dapat menamatkan pengajiannya dan bangga dengan pencapaiannya.


Dia berkata, sebelum ini Allahyarham Bong Suadi mengalami pendarahan di otak dan berjaya melakukan pembedahan.


“Sudah takdir dan sebaik-baik perancangan ALLAH, ia tidak dapat dielakkan apabila suami saya terkena serang jantung pada Mei lalu walaupun pembedahan pendarahan otak berjaya,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]