Sektor pertanian kembali pulih

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Prestasi sektor pertanian meningkat semula pada kadar 7.1 peratus dalam tempoh separuh pertama 2017 berbanding -5.9 peratus pada tempoh sama tahun lepas.


Menurut Laporan Ekonomi 2017/2018 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, peningkatan itu disokong oleh pemulihan ketara subsektor kelapa sawit dan getah ekoran cuaca yang lebih baik.


Untuk keseluruhan 2017, sektor pertanian dijangka kembali melonjak 5.6 peratus berbanding -5.1 peratus pada 2016 terutamanya dipacu oleh subsektor kelapa sawit dan getah yang merangkumi 53.1 peratus daripada sektor pertanian.


Subsektor berkaitan makanan seperti ternakan, buah-buahan dan sayur-sayuran juga meningkat berikutan permintaan domestik yang lebih kukuh.


Peningkatan subsektor itu turut disokong oleh pelbagai langkah kerajaan bagi meningkatkan pengeluaran makanan termasuk pembangunan projek infrastruktur pertanian dan penerusan program berimpak tinggi iaitu estet padi, zon bersepadu akuakultur dan ternakan ikan sangkar.


Selain itu, subsektor berkenaan dijangka terus menyokong pertumbuhan melalui penggunaan teknik pertanian moden dan permintaan lebih kukuh daripada industri pemprosesan makanan.


Menurut laporan itu, subsektor kelapa sawit meningkat dengan pertumbuhan ketara 14.6 peratus untuk tempoh Januari hingga Jun tahun ini  berbanding  – 15.2 peratus bagi tempoh sama tahun lepas berikutan pengeluaran minyak sawit mentah (CPO) lebih tinggi.


Bagi keseluruhan 2017,  subsektor kelapa sawit dijangka kembali pulih dengan ketara  11.8 peratus berbanding -12.7 peratus pada 2016.


Bagi subsektor getah pula, nilai ditambah subsektor itu melonjak 20.8 peratus dalam separuh pertama 2017  berbanding -9.7 peratus bagi tempoh sama tahun lepas  yang disokong oleh harga lebih tinggi dan peningkatan hasil berikutan keadaan cuaca lebih baik.


Pada 2017, pengeluaran getah dijangka berkembang 3.9 peratus kepada 700,000 tan metrik berbanding 673,513 tan metrik pada 2016.


Subsektor itu dijangka mencatat momentum pertumbuhan yang kukuh sebanyak 10.8 peratus dengan purata harga RM7.30 sekilogram tahun ini berbanding RM5.68 sekilogram pada 2016.


Menurut laporan itu, subsektor ternakan pula berkembang 3.9 peratus dalam tempoh Januari hingga Jun 2017 yang disokong oleh pengeluaran lebih tinggi bagi ayam-itik, telur dan lembu.


Bagi keseluruhan 2017, subsektor itu dijangka berkembang 3.1 peratus berbanding  3.7 peratus pada 2016 dengan disokong program berterusan kerajaan dan peningkatan permintaan isi rumah. – Bernama

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]