T-Team buru kemenangan terakhir

in Sukan by


PASUKAN berstatus kelab, T-Team  turun dengan misi wajib menang dalam perlawanan terakhir saingan Liga Super ketika berkunjung ke Stadium Negeri, Kuching bertemu Sarawak malam nanti.


Pengendalinya, Rahmad Darmawan berkata, pada pertemuan itu, pasukannya perlu mengutip mata penuh atau setidak-tidaknya melakarkan keputusan seri  untuk terus kekal berada di kancah Liga Super musim depan.


Justeru, pemain diingatkan agar memberi perhatian pada perlawanan itu tanpa perlu memikirkan keputusan perlawanan lain kerana satu mata sudah memadai buat  T-Team  meneruskan saingan Liga Super.


“Jadi, saya mahu pemain-pemain terus fokus dan menunjukkan komitmen terbaik kerana ini perlawanan yang menentukan masa depan pasukan.


“Malah dengan persiapan rapi sejak hampir sebulan lalu, kita akan mengerahkan  segala kemampuan yang ada untuk memastikan T-Team tidak tercicir mata ,” katanya.


Mengulas lanjut persiapan pasukan, ketua jurulatih kelahiran Indonesia itu mengakui berpuas hati dengan komitmen diberikan kesemua pemain dan menyifatkan anak buahnya sudah bersedia untuk membuktikan kemampuan mereka.


Menurutnya, walaupun bakal diberikan tentangan sengit apabila Sarawak turut meletakan misi sama untuk meraih kemenangan di hadapan penyokong sendiri , namun ia bukan halangan buat anak buahnya dalam memburu kemenangan.


“Kita akui pasukan Sarawak ketika ini telah menunjukkan peningkatan dan ini akan member sedikit tekanan kepada kami, bagaimanapun pemain perlu mempamerkan rentak terbaik untuk mengatasi mereka.


“Apa pun saya yakin pemain mampu memberikan keputusan positif dan berharap mereka dapat melaksanakan setiap perancangan pasukan dengan cemerlang dalam meraih kejayaan,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]