Tanah mendap ancam keselamatan

in Edisi Selangor KL by


PUCHONG – Penduduk di Jalan TK1/7, Taman Kinrara Seksyen 1 di sini, menyatakan kebimbangan mereka apabila bahagian belakang rumah didiami mendap sedikit demi sedikit sejak setahun lalu dan kini didakwa semakin serius.


Penduduk, Tay Poh Seng, 62, berkata, lebih membimbangkan longkang di belakang rumah sudah runtuh dan membentuk sebuah lubang besar.


Katanya, dia menyedari kejadian itu apabila pintu bilik di rumahnya tidak dapat ditutup dan terpaksa menghubungi tukang kayu untuk melihat jika berlaku kerosakan.


Selepas melakukan pemeriksaan, dia terkejut apabila diberitahu keadaan lantai tidak rata berkemungkinan disebabkan tanah di bawah rumah mendap.


“Bila saya periksa bahagian belakang rumah nampak saluran longkang berlubang, pasir di bawah rumah sudah mengalir keluar.


“Saya bimbang keadaan menjadi bertambah buruk jika hujan lebat dan pasir di bawah rumah semua mengalir keluar,” katanya.


Poh Seng berkata, dia pernah mengajukan masalah tersebut kepada kontraktor yang melakukan kerja pembersihan sebelum ini.


Namun katanya, aduan dibuatkan itu sehingga kini masih tiada sebarang tindakan diambil dan keadaan menjadi lebih buruk apabila pintu rumahnya sekali lagi tidak dapat ditutup sempurna.


“Saya bimbang rumah diduduki runtuh apatah lagi jika cuaca hujan saja,” katanya yang mendiami perumahan itu sejak 27 tahun lalu.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 14, Lawrence Chiew berharap pihak berkenaan segera melakukan pemeriksaan di rumah penduduk yang berkaitan sebelum kejadian tidak diingini berlaku.


“Kalau boleh ambil tindakan sekarang, bila rumah dah runtuh kos pembaikan akan jadi lebih tinggi,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]