‘Tiada isu besar, hanya salah faham’

in Edisi Selangor KL by


SIJANGKANG – Isu Penggerak Belia Tempatan (PeBT) yang kesal dengan tindakan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dun Sijangkang yang didakwa melengah-lengahkan proses menandatangani dokumen dianggap selesai.


Ketua Penyelaras PeBT Bahagian Pembangunan Belia, Majlis Sukan Negeri Selangor, Mohammad Ammirul Azahar berkata, isu tersebut dianggap sebagai salah faham dan diharapkan tidak dipanjangkan lagi.


Menurutnya, beliau yakin semua PeBT di Selangor sudah cukup matang dalam setiap perkara.


“Saya turut hadir dalam majlis ramah mesra yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Dun Sijangkang dan maklum dengan apa yang berlaku.


“Apa yang saya nampak ini adalah salah faham dan tak ada isu besar sebenarnya,” katanya.


Sementara itu, Adun Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, beliau tidak mahu memanjangkan isu berkenaan dan menganggap ia selesai.


Katanya, beliau sudah memaafkan semua pihak dan turut memohon maaf dengan apa yang berlaku.


“Perjumpaan bersama 24 wakil PeBT di Kuala Langat beri peluang kepada saya mengetahui kehendak belia hari ini.


“Saya anjur program ini secara santai dan tak ada kaitan dengan politik, saya nak dengar luahan dan pandangan belia selain memberi input yang boleh dimanfaatkan oleh belia sekitar.


“Bagi saya gerakan program PeBT di setiap zon penting bagi memberitahu anak muda setempat wujudkan aktiviti belia di kawasan mereka,” katanya.


Beliau berkata demikian sempena Program Ramah Mesra Dato Dr Ahmad Yunus Hairi bersama PeBT Kuala Langat di Restoran Changker Mbah Geo Sijangkang, kelmarin.


Beliau turut memberitahu, di Selangor sahaja mempunyai 45 peratus golongan belia dan menjadi tanggungjawab semua pengerusi PeBT menggerakkan belia di kawasan mereka.


Katanya, seharusnya 24 PeBT di Kuala Langat memainkan peranan dalam menganjurkan aktiviti mengikut PeBT atau Dun.


“Program yang dianjurkan pula mestilah dapat buka mata belia, supaya dapat menarik perhatian ramai lagi golongan itu.


“Dari segi sokongan pula, Insya-ALLAH tak ada masalah…Exco pun boleh bantu program PeBT,” katanya.


Sebelum ini, PeBT Zon 1 kesal dengan tindakan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dun Sijangkang yang didakwa melengah-lengahkan proses menandatangani dokumen yang diserahkan ke pejabat tersebut pada 11 Oktober 2017  tular di laman sosial termasuk Facebook sehingga mencetuskan rasa kurang senang pembaca terhadap kedua-dua pihak.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]