TPM Australia, 4 senator hilang kelayakan

in Global by


CANBERRA – AUSTRALIA. Mahkamah Tinggi pada Jumaat memutuskan bahawa Timbalan Perdana Menteri Australia, Barnaby Joyce, dan empat ahli politik persekutuan lain hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen, lapor agensi berita China Xinhua.


Joyce, pemimpin Parti Nasional yang berada di Dewan Perwakilan selepas bergabung dengan Parti Liberal, didapati tidak layak menjadi anggota Parlimen mengikut Seksyen 44 (i) Perlembagaan Australia yang melarang pelantikan mereka yang mempunyai status kerakyatan dua negara.


Timbalan Joyce dalam Parti Nasional, Senator Fiona Nash, yang turut hilang kelayakan bersama-sama Senator Malcolm Roberts dari Parti One Nation, selain Senator Scott Ludlam dan Larissa Waters dari Parti Hijau, yang telahpun meletakkan jawatan masing-masing.


Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati keempat-empat anggota Parlimen itu sama ada mempunyai kerakyatan di negara asing, atau memiliki hak atau keistimewaan sebagai seorang rakyat di negara asing.


Nick Xenophon, yang dibebaskan bersama-sama Senator Matt Canavan oleh Mahkamah Tinggi, berkata beliau akan meletak jawatan tanpa mengira keputusan mahkamah dan meneruskan karier politiknya di Australia Selatan.


Joyce dan Ludlam pula mempunyai ibu bapa yang dilahirkan di New Zealand di mana undang-undang negara itu menetapkan bahawa kerakyatan diwarisi anak-anak.


Bapa Nash dilahirkan di Scotland yang mempunyai undang-undang serupa manakala Roberts dilahirkan di India dengan bapanya seorang rakyat Wales, dan Waters pula dilahirkan di Kanada.


Keputusan itu memberikan tamparan hebat kepada kerajaan Australia yang hilang majoriti di Dewan Perwakilan, yang membentuk kerajaan.  


Meskipun kehilangan majoriti, kedudukan kerajaan dijangka tidak tergugat kerana pembangkang, Parti Buruh Australia, memerlukan 76 undi untuk meluluskan usul tidak percaya terhadap kerajaan, yang tidak dimiliki mereka.


Perdana Menteri Malcolm Turnbull perlu melakukan rombakan kabinet secara besar-besaran kerana Nash dan Joyce merupakan menteri sebelum mahkamah mengumumkan keputusannya. – Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]