AADK diarah gempur kawasan perumahan

in Nasional by


JOHOR BAHRU – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) diarahkan untuk menjalankan operasi membanteras penyalahgunaan dadah di kawasan perumahan khususnya rumah pangsa kos rendah.


Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya mendapati kediaman tersebut menjadi tumpuan penagih untuk melakukan aktiviti tidak sihat itu.


“Kita dapati bahawa rumah pangsa seperti ini menjadi tumpuan penagih sama ada mereka menyewa atau menggunakan rumah persendirian untuk mengadakan aktiviti penyalahgunaan dadah


“Jadi saya akan mengarahkan AADK untuk menjalankan operasi supaya gejala penyalahgunaan dadah di kawasan perumahan seperti rumah pangsa kos rendah ini dibanteras,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas membuat lawatan dan menghadiri program gotong-royong perdana di Rumah Pangsa Sri Indah, di sini hari ini.


Nur Jazlan berkata, trend penyalahgunaan dadah di kawasan kediaman tersebut dilihat berlaku apabila AADK mempertingkatkan pembanterasan sarang penagihan seperti di bawah jambatan dan kawasan semak.


“Dulu mereka menjadikan bawah jambatan, semak dan sebagainya sebagai port mereka. Sekarang bila AADK sudah mempertingkatkan pembanterasan port tersebut, mereka berpindah ke rumah pangsa seperti ini (kos rendah).


“Sebab itu AADK sekarang ini telah menetapkan bahawa kawasan berisiko (menjadi sarang penagihan) di kawasan bandar raya adalah seperti perumahan rakyat. Jadi operasi akan diteruskan,” katanya.


Beliau berkata, AADK diminta untuk menjalankan operasi di semua perumahan rakyat dengan bantuan Badan Pengurusan Bersama (JMB) kawasan kediaman berkenaan.


“JMB boleh memantau dan memaklumkan kepada agensi penguatkuasaan seperti AADK,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]