Balak mati, hutan simpan rosak

in Edisi Pahang by


KUALA ROMPIN – Pakatan Harapan (Harapan) Rompin menzahirkan kebimbangan terhadap pokok-pokok balak yang telah mati di sebahagian kawasan Hutan Simpan Menchali di pinggir jalan utama Rompin-Kuantan.


Bahagian kanan dan kiri jalan dengan jarak kira-kira 1 kilometer itu boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya sekiranya pokok-pokok balak itu tumbang akibat angin atau sebagainya.


Ketua Parti Bersatu Bahagian Parlimen Rompin, Osman A Bakar, berkata, agensi kerajaan berkaitan perlu mengambil tindakan proaktif sebelum berlaku sebarang kejadian tidak diingini.


Menurutnya, tambahan pula jalan itu adalah laluan utama Kuantan-Johor Bahru selain dilalui ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah berhampiran.


“Melihat kepada ketinggian pokok-pokok ini, kita yakin sekiranya ia tumbang pasti akan menimpa jalan sekali gus boleh mendatangkan musibah kepada pengguna jalan raya.


“Saya harap akan ada tindakan segera demi keselamatan semua kerana ia boleh tumbang pada bila-bila masa,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Harapan Rompin, Mohd Fadzli Mohd Ramly, berkata, ia bukan sahaja isu keselamatan tetapi masalah melibatkan hutan simpan yang telah terjejas.


Katanya, isu itu sepatutnya membuka mata penduduk tempatan dan negara amnya bahawa ia adalah hutan simpan yang menjadi simpanan kepada kawasan hutan yang semakin pupus di negara ini.


“Sekarang kita tertanya-tanya kenapa pokok-pokok ini tiba-tiba kering dan ada kawasan yang terbakar, sepatutnya kawasan hutan simpan ini dijaga sebaik mungkin.


“Jadi kita harap isu ini dapat membuka mata semua tentang nasib khazanah hutan di negara ini yang semakin pupus, kerajaan melalui agensi berkaitan sepatutnya mencegah atau membuat penguatkuasaan agar isu sebegini tidak berlaku,” katanya.


Sementara itu, Pegawai Hutan Daerah Rompin, Nazri Husin yang dihubungi menjelaskan bahawa kawasan itu merupakan Hutan Simpan Menchali dan sebelum ini pernah berlaku kebakaran di kawasan itu.


Menurutnya, masalah itu sudah dalam perhatian pihaknya dan telah ada permohonan untuk mengeluarkan pokok-pokok yang terjejas itu melibatkan keluasan 300 hingga 400 hektar.


“Permohonan telah diangkat dan kini dalam proses menunggu kelulusan, pokok-pokok mati ini masih ada harga dan akan ditebang dalam masa sama kawasan itu turut dibersihkan selain membina zon penampan kebakaran. Kemudian kita serah kepada Unit Pembangunan Hutan untuk tanam semula pokok jenis sama iaitu spesies giam,” katanya.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]