Budak antara dicekup cuba pecah tabung masjid

in Edisi Terengganu by


KUALA NERUS – Dua individu termasuk seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dicekup ketika cuba mencuri duit tabung di sebuah masjid di Batu Rakit, kelmarin.


Kejadian kira-kira jam 2 petang itu mula disedari seorang penduduk yang curiga apabila melihatĀ  sebuah motosikal diletakkan di hadapan tandas wanita di kawasan masjid itu sebelum bertindak memaklumkan kepada orang kampung.


Sejurus itu, sekumpulan penduduk kampung membuat intipan dan mendapati dua lelaki cuba mengait duit di dalam tabung berkenaan menggunakan sebatang dawai.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, selepas beberapa minit membuat intipan, sekumpulan penduduk berkenaan menahan kanak-kanak berusia 11 tahun bersama rakannya yang berusia 21 tahun itu.


“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua penjenayah yang sedang berada di ruang solat wanita itu turut menemui duit RM46 di lipatan kaki seluar salah seorang suspek.


“Setelah disoal siasat juga kedua-dua mereka turut mengaku mencurinya daripada tabung masjid dan suspek juga cuba melarikan diri namun gagal sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.


“Ujian air kencing yang dibuat ke atas kedua-dua suspek turut mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dengan suspek berusia 21 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan kes curi,” katanya.


Beliau berkata, kedua-dua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]