Buntu cari jalan keluar

in Edisi Selangor KL by


SUNGAI BULOH – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Itu situasi sebuah keluarga yang kesempitan hidup selepas suami yang menjadi tempat bergantung tiba-tiba tidak mampu bekerja lagi.


Ia susulan kemalangan empat bulan lalu menyebabkan Muhammad Shahrizan Osoman, 38, yang bekerja sebagai pemandu lori patah kaki dan masih dalam cuti sakit.


Tidak cukup dengan itu, isterinya, Suziyana Mamat, 34, dan anak keduanya pula ditimpa musibah apabila melecur di bahagian badan dan tangan selepas terkena sup panas menggunakan periuk bertekanan tinggi.


Dua beranak itu dimasukkan wad selama tiga hari, sebelum dibenarkan pulang ke rumahnya di Matang Pagar, Sungai Buloh.


Suziyana berkata, menjadi kebimbangannya kini mengenai kos perbelanjaan hari-hari mendatang susulan gaji suaminya dibekukan.


“Walaupun ada sijil sakit, tapi ia sah untuk tiga bulan sahaja. Bulan ini dah tak ada gaji dan saya pula tak bekerja.


“Gaji asas yang diterima sebelum ini pun tak mampu nak bayar sewa rumah yang kini tertunggak tiga bulan. Sekadar lepas untuk bayar ansuran kereta, persekolahan anak dan belanja dapur,” katanya.


Katanya, dia menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah bagi menambah pendapatan, namun keuntungan hanya lepas untuk belanja dapur.


“Saya ada masalah kesihatan ketumbuhan di payudara dan pendarahan pada rahim yang mengehadkan pergerakan saya, selain perlu jalani pemeriksaan berkala.


“Sementara menunggu suami pulih sepenuhnya, dalam tempoh setahun ini saya perlukan bantuan pihak luar untuk tampung kos sara hidup.


“Tuan rumah pun beberapa kali datang menuntut hutang tapi kami minta tempoh kerana keadaan yang tak mengizinkan,” katanya.


Katanya, dia belum mengisi borang bantuan zakat kerana kecederaan kesan daripada melecur di bahagian badan menyukarkannya bergerak.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]