Harapkan kudrat ibu, kakak

in Edisi by


TUMPAT – Seorang pemuda yang lumpuh separuh badan akibat kemalangan jalan raya, terpaksa bergantung kepada kudrat ibu dan kakaknya untuk menjalani kehidupan harian.


Mohd Rahiman Aladin, 28, yang kini terlantar di rumah ibunya, Wan Shamsiah Wan Ibrahim, 59, yang juga ibu tunggal di Kampung Laut 3.


Kehidupan Rahiman semakin terhimpit kerana ibunya tidak bekerja kerana sukar meninggalkannya.


Rahiman berkata, mujur ada kakak, Nor Azwani, 31, juga seorang ibu tunggal yang kematian suami empat tahun lalu banyak membantu menguruskannya serta menyara kos ubat dan lampin pakai buang.


“Saya kemalangan motosikal di Kuala Lumpur, Disember lalu ketika bekerja sebagai pendawaian elektrik di sana.


“Kemalangan itu menyebabkan saya lumpuh, saya dibawa pulang ke kampung dan dijaga ibu dan kakak,” katanya.


Menurutnya, dia yang belum berumah tangga hilang punca pendapatan apabila sudah tidak mampu bekerja.


Katanya, untuknya menjalani terapi dan berulang-alik ke hospital agak sukar kerana keluarganya tiada kereta dan setiap kali menyewa kereta kosnya mahal.


Sementara itu, Nor Azwani berkata, dia membantu sekadar yang termampu kerana dia juga perlu menyara tiga anak.


Katanya, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterima sebanyak RM300 sebulan digunakan sebaik mungkin.


“Saya tampung mana yang kurang, selain bantuan JKM itu, saya juga ada ambil upah kupas bawang.


“Upahnya tak menentu, kalau perlu belikan ubat adik, saya kena jimat belanja dapur atau belanja anak,” katanya.


Menurutnya, menguruskan adiknya agak sukar kerana rumahnya tiada bilik air khas.


Katanya, bilik air di bawah dan keadaan adiknya yang terlantar itu agak sukar untuk memandikannya.


“Nak ke tandas perlu usung, tapi dengan kudrat kami ini, memang sukar.


“Kadangkala kami lap saja badan dia, sebab nak ke bilik air kena turun tangga,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]