Isu klinik sesak berjaya diatasi

in Edisi Selangor KL by


SERDANG – Dua daripada tiga projek menaik taraf bangunan dan kemudahan Klinik Komuniti Seri Kembangan yang dilaksanakan sebelum ini di sini, kini siap sepenuhnya dan dijangka dapat mengatasi isu kesesakan pesakit di klinik itu.


Ketua Pusat Perkhidmatan dan Penyelarasan BN Kawasan Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon berkata, setelah masalah itu diajukan kepada pihak kementerian, maklum balas positif diterima pihaknya.


Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi satu surat bertarikh 20 Januari lalu memaklumkan beberapa projek diluluskan dan dilaksanakan pada tahun ini.


Antaranya, cadangan menaik taraf bangunan dan kemudahan dilaksanakan termasuk mengubahsuai dua unit kuarters dijadikan klinik ibu dan anak.


“JKNS memaklumkan turut menyediakan kabin berhampiran bangunan sedia ada untuk menambah ruang pemeriksaan pesakit luar. Kaunter lama di klinik juga diubahsuai untuk keselesaan pesakit,” katanya.


Beliau berkata, setakat ini hanya kabin dan kaunter sudah dinaik taraf namun kerja-kerja ubahsuai kuarters masih belum dijalankan kerana menunggu kelulusan pelan reka bentuk daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).


“Pihak jabatan dan kementerian prihatin isu kesesakan di klinik dan sentiasa memperbaiki masalah untuk keselesaan pesakit. Pihak itu juga maklumkan penambahan ruang sudah dilakukan sebelum ini namun masih tidak mencukupi disebabkan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan.


“Kerja-kerja yang sudah dilaksanakan ini hanya untuk menyelesaikan masalah jangka pendek, diharap pihak kementerian merangka kaedah menyelesaikan isu ini secara jangka panjang,” katanya.


Terdahulu akhbar ini melaporkan, Kementerian Kesihatan didesak menyelesaikan isu kesesakan pesakit di Klinik Komuniti Seri Kembangan yang wujud sejak 50 tahun lalu.


Pian Hon berkata, kemudahan itu memang ada dinaik taraf dari masa ke semasa namun ia masih gagal menampung jumlah pesakit yang bertambah setiap tahun kerana  kekurangan infrastruktur.


Katanya, disebabkan bangunan kecil, klinik jadi sempit dipenuhi pesakit.


Klinik itu dakwanya ketika ini diibaratkan seperti hospital kecil kerana ramai penduduk mendapatkan rawatan dan perkhidmatan setiap hari.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]