Kekal UPSR medium penilaian

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN –  Ikatan Guru–Guru Muslim  Malaysia (iGuru), berharap agar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dikekalkan sebagai instrumen penilaian di sekolah-sekolah berasrama penuh.


Presidennya,  Mohd Azizee Hasan berkata, UPSR adalah sebahagian daripada penilaian berterusan yang perlu dikekalkan dan dilaksanakan di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia.


Katanya, masalah bebanan beg mahu pun tugas guru bukan sahaja berkaitan dengan peperiksaan semata-mata, sebaliknya perlu melihat kepada semua aspek secara keseluruhan.


“Jangan hanya kerana beg berat dan beban guru bertambah, UPSR perlu dimansuhkan, itu adalah tidak wajar.


“UPSR  penting sebagai penilaian kemasukan ke sekolah berasrama penuh, kokurikum sekarang hanya berasaskan kepada KSSR (Kokurikum Standart Sekolah Rendah) yang menekankan pencapaian serta penilaian holistik sahaja,” katanya, semalam.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) yang mendesak Kementerian Pendidikan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam masa terdekat.


Menurut kenyataan tersebut, majoriti murid hanya mengutamakan mata pelajaran penting dalam UPSR sehingga mengabaikan bidang pelajaran lain yang diperlukan oleh seseorang murid, seperti muzik, seni lukis dan sukan.


Selain itu, memansuhkan UPSR katanya akan dapat selesaikan masalah bebanan yang ditanggung oleh guru selama ini.


UPSR juga katanya hanya berorientasikan peperiksaan berpusat semata-mata dan tidak menyeluruh.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]