Kelainan Jualan Gudang Akhir Tahun 2017

in Nasional by


SHAH ALAM – Jualan Gudang Akhir Tahun 2017 kembali menemui peminat novel, buku dan majalah bermula semalam hingga 5 November ini di Kumpulan Media Karangkraf, di sini.


Penolong Pengurus Besar Grup Buku Karangkraf, Ruziana Omar berkata, lokasi jualan gudang masih sama seperti tahun lalu tetapi sedikit kelainan dibawa kali ini dengan tiga tempat jualan disediakan bagi memberi  lebih keselesaan kepada pengunjung.


“Tahun ini kita adakan di Dewan Karangkraf, Studio F dan tempat parkir Karangkraf.


“Di Dewan Karangkraf, pengunjung boleh mendapatkan bahan bacaan baharu dengan potongan harga sebnayak 20 hingga 30 peratus. Di studio F pula terdapat buku-buku paling laris pada tahun lalu dan di tapak parkir pula, adalah buku yang kita beri promosi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Menurutnya, pengunjung juga boleh mendapatkan bahan bacaan serendah RM1 pada jualan gudang kali ini.

Orang ramai mendapatkan naskah majalah, novel dan buku sempena Jualan Gudang Akhir Tahun 2017 di Karangkraf.


“Tahun ini juga kita sediakan pakej pembelian iaitu pengunjung dapat menikmati diskaun 20 peratus hingga 30 peratus dengan pembelian lebih daripada satu.


“Sebagai contoh, buku kanak-kanak dijual pada harga RM7 setiap satu tetapi kalau beli lima buku, kita tawarkan RM30. Begitu juga dengan novel, kita tawar satu RM10 tetapi kalau beli lapan buku, jumlahnya RM50,” katanya.


Ruziana berkata, hari ini sesi ‘happy hour’ akan diadakan bermula jam 12 tengah hari hingga 5 petang, selama satu jam.


“Pelbagai bahan bacaan akan ditawarkan dengan harga istimewa, dan bahan bacaan ini terhad.


“Jadi, bagi pengunjung yang ada pada waktu itu, jangan lepaskan peluang mendapatkan buku-buku dengan harga istimewa,” katanya.


Mengulas lanjut katanya, pelbagai kemudahan disediakan kepada pengunjung sepanjang jualan gudang berlangsung.


“Untuk lebih selesa, di Dewan Karangkraf dan di Studio F dilengkapi pendingin hawa, serta disediakan juga gerai jualan makanan untuk pengunjung,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]