Kumpul dana baiki lantai makmal komputer

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


BANDARAYA MELAKA – Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek menganjurkan Karnival keusahawanan SK Ayer Molek 2017 bagi mengumpul dana RM20,000 untuk membaiki lantai makmal komputer dan membina empat pondok bagi keselesaan murid.


Karnival berkenaan yang dianjurkan sempena Sambutan 128 tahun SK Ayer Molek turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).


Guru Besar SK Ayer Molek, Nor Aisah Mohammed berkata, setakat ini pihaknya berjaya mengumpul dana berjumlah RM3,000 menerusi kutipan yang dijalankan sejak bulan lalu.


Beliau berharap usaha tersebut akan mampu mencapai sasaran yang ditetapkan menerusi penganjuran karnival dijadualkan pada 4 November depan.


“Menerusi program ini juga akan dapat menarik minat murid-murid di dalam bidang perniagaan di samping memberi pendedahan tentang ilmu keusahawanan.


“Karnival sehari ini juga turut menampilkan beberapa kelainan berbanding siri sebelum ini apabila menyelitkan beberapa acara lain secara serentak seperti cabutan bertuah, jumble sale, soopa doopa, free market, pemeriksaan kesihatan percuma dan SSPN i Takaful Ikhlas,” katanya.


Menurut beliau, SK Ayer Molek juga berharap bekas murid sekolah tersebut dapat hadir memeriahkan karnival di samping membantu mengisi tabung dana berkenaan.


Tambahnya, karnival berkenaan akan di rasmikan oleh Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Abu Bakar Sahari.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]