Padang Terap positif hadapi pusingan kedua LBR

in Sukan by


PASUKAN Padang Terap mahu memanfaatkan pusingan kedua Kumpulan D Zon Utara Liga Bolasepak Rakyat (LBR) 2017/2018 sebaik mungkin apabila menerima kunjungan Padang Serai bagi perlawanan keempat di SMK Kuala Nerang, petang ini.


Setiausaha Pasukan LBR Padang Terap, Mohd Rizan Romli berkata, perebutan pendahulu Kumpulan D kini terbuka apabila pasukan itu, Padang Serai, Padang Besar Unimap dan Kuala Muda kini berkongsi empat mata sama selepas tiga perlawanan.


Menurutnya, masa rehat selepas tamat pusingan pertama telah digunakan sebaik mungkin oleh barisan jurulatihnya untuk membaiki dan memperkemaskan setiap kelemahan yang ada.


“Semua pasukan dalam Kumpulan D  masih terbuka untuk melayakan diri ke pusingan seterusnya dan ini menjadikan persaingan menjadi lebih sengit terutamanya pada pusingan kedua ini.


“Padang Terap akan memanfaatkan peluang sebaik mungkin terutamanya menerima kunjungan Padang Serai di laman sendiri pada petang esok (petang ini),” katanya kepada Sinar Harian.


Mohd Rizan berkata, Padang Terap mahu membaiki pencapaian mereka pada saingan musim lalu apabila gagal memberi saingan kepada lawan.


Katanya, pencapaian pasukan itu yang dibarisi majoriti anak jati Padang Terap setakat ini memberangsangkan dan berharap momentum itu akan terus ditingkatkan pada tiga baki perlawanan lagi.




 


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]