Peluang timba ilmu di UK

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Sekurang-kurangnya dua pemain cilik dari negara ini berpeluang menerima tajaan untuk menyertai akademi bola sepak di United Kingdom (UK) menerusi Program Baba’s Million Dollar Feet yang bermula awal bulan lalu.


Pengurus programnya, Kezwin Laow berkata, latihan dan praktikal selama dua tahun itu dijangka akan dilaksanakan di akademi bola sepak dua pasukan terkemuka dunia iaitu Leicester City dan Liverpool FC.


Menurutnya, program yang memasuki siri kedua itu menjalankan pemilihan pemain berusia 11 hingga 14 tahun dari lima negeri membabitkan Pulau Pinang, Sarawak, Kelantan, Johor dan Kuala Lumpur.


“Penyertaan yang kami terima begitu memberangsangkan, dan peserta yang mengambil bahagian menunjukkan semangat yang jitu ketika sesi pemilihan. Sekurang-kurangnya hampir 600 peserta hadir sejak hari pertama di Pulau Pinang tempoh hari.


“Kita akan memilih mereka yang benar-benar layak untuk dibawa ke peringkat akhir iaitu di Kuala Lumpur pada 5 Oktober ini,” katanya ketika ditemui pada sesi pemilihan di Daratan Bandaraya Johor Bahru, semalam.


Kezwin berkata, dalam sesi pemilihan, pemain akan diuji daripada segi ketangkasan, skil dan bakat untuk mendapatkan keputusan di peringkat paling maksimum.


“Kita mahu pemain yang bakal dihantar ini menerima ajaran yang cukup serta berbaloi untuk menjadi aset bola sepak negara ini,” katanya.


Menurutnya, pemilihan pemain yang berbakat itu akan dibuat legenda Liverpool, Steve Mcmahon iaitu selaku ketua jurulatih program berkenaan.


Mcmahon ketika ditemui berkata, tiada sebarang halangan bagi rakyat Malaysia untuk berkembang maju dalam arena bola sepak antarabangsa seperti pemain terkemuka dunia yang ada.


“Saya datang ke sini untuk melihat bakat, pemain yang ada motivasi dan semangat untuk melangkah lebih jauh.


“Itu tidak mustahil kerana apa yang mereka perlukan sebenarnya adalah bimbingan dan platform seperti ini,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]