Tak impi pintas Pahang

in Sukan by


KETUA Jurulatih Felda United, B Sathianathan enggan meletakkan harapan besar untuk pasukannya mengakhiri musim ini di kelompok dua pasukan terbaik Liga Super menjelang perlawanan terakhir liga menentang PKNS FC di Shah Alam, malam ini.


Katanya, walaupun peluang untuk memintas Pahang masih ada, namun melihat kepada perbezaan jaringan sedikit menyukarkan The Fighters untuk memintas kedudukan tersebut.


“Bagi saya paling realistik ialah untuk mengekalkan kedudukan ketiga liga berbanding mengimpikan kami dapat menyamai kedudukan musim lalu, di tangga kedua.


“Tapi walau apa pun keputusan yang diterima nanti, saya sudah cukup berpuas hati dengan pencapaian kami musim ini kerana sejak awal saya menjejakkan kaki ke kelab ini, sasaran saya ialah untuk membawa pasukan ke kelompok empat pasukan terbaik. Dan kami sudah pun berjaya mencapai sasaran itu,” katanya.


Mengulas mengenai masa depannya bersama Felda, Sathianathan mengesahkan sudah menandatangani kontrak lanjutan untuk kekal mengendali kelab itu musim depan.


Beliau turut mengakui sudah mempunyai perancangan mengenai barisan pemain yang diperlukan Fighters untuk musim depan.


“Soal pemain untuk musim depan, saya sudah ada perancangan bersama pihak pengurusan. Tapi saya tak boleh dedahkan apa-apa lagi kerana kontrak pemain hanya akan tamat pada bulan depan.


“Mengenai pemain import pula, apa yang boleh saya katakan, kami hanya akan melakukan rombakan kecil sahaja, iaitu untuk mendapatkan seorang sahaja pemain import baharu pada musim depan,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]