Video pendek 9 Pesan Luqman

in Edisi by


SHAH ALAM – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) mengambil pendekatan proaktif dalam kempen MyFamily #QuranHour dengan menganjurkan pertandingan video pendek bermula 1 November hingga 15 Disember 2017.


Ketua Pegawai Eksekutif WUI, Marhaini Yusoff berkata, pertandingan video pendek berkenaan yang mengangkat tema ‘9 Pesan Luqman’ diharap dapat menjadi platform terbaik bagi menzahirkan apa yang terpendam di kalangan anak-anak dan remaja.


“Apa yang paling penting melalui pertandingan ini juga, kita dapat memberi fokus khusus bagaimana mewujudkan institusi keluarga yang ideal, yang kita mulakan dengan anak-anak yang menjadi aset yang sangat penting sebenarnya.


“Justeri kita  harap orang ramai dapat mengambil peluang ini untuk hasilkan video khusus untuk mengekspresikan kemahuan golongan anak-anak agar orang dewasa seperti keluarga dan masyarakat lebih memahami mereka,” katanya dalam pra-pelancaran program #SavingFamilies.


Selain itu, Marhaini berkata, WUI melihat kempen MyFamily #QuranHour kali ini sangat berbeza lebih-lebih lagi setelah berlakunya tragedi kebakaran sebuah maahad tahfiz di Kuala Lumpur.


Menurutnya, kempen #SavingFamilies dilihat sangat penting khususnya bagaimana berdepan dengan cabaran-cabaran yang melibatkan institusi kekeluargaan.


“Tragedi kebakaran maahad tahfiz yang melibatkan anak-anak kita memang menjadi wake up call di mana kita perlu lihat kembali kepada institusi keluarga.


“Kita telah susun pelbagai program sepanjang tahun untuk MyFamily #QuranHour kerana kita nampak keperluannya sangat penting untuk menjadi asas kepada peringkat yang lebih besar,” katanya.


Sementara itu, guru SMK Seksyen 9, Syed Ahmad Thani Tuan Hadi berkata, dia menyambut baik kempen berkenaan dan melihat penganjuran pertandingan video pendek merupakan satu kaedah yang baik dalam mendekati golongan anak-anak dan remaja.


“Kaedah menganjurkan pertandingn video ini bagi saya sangat menarik kerana dunia pada hari ini sememangnya berkait rapat dengan teknologi.


“Video juga merupakan kaedah yang  mudah dihadam oleh orang awam, saya sendiri sebagai seorang guru yang terlibat dalam produksi sekolah akan guna peluang ini bagi menarik minat pelajar untuk berkarya bagi tujuan yang baik,” katanya.


Kepada mereka yang berminat menyertai pertandingan video pendek ini, sila layari pautan bit.ly/Video9PesanLuqman untuk pendaftaran atau layari bit.ly/form9PesanLuqman untuk syarat-syarat penyertaan.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]