Gaprof cungkil idea perniagaan generasi Felda

in Edisi by


SHAH ALAM – Pertandingan Mencipta Idea Perniagaan yang dianjurkan oleh Gabungan Pemikir Profesional Felda (Gaprof) diharap dapat menjadi platform pengembangan idea perniagaan khususnya kepada generasi Felda.


Pengerusi Kluster Ekonomi dan Keusahawanan Gaprof, Tan Sri Rozali Ismail berkata, penganjuran berkenaan bertujuan mencungkil idea-idea baharu perniagaan selain menjadi ruang melahirkan golongan usahawan yang berjaya dalam perniagaan berteraskan idea asal mereka.


“Pelbagai idea dan inovasi menarik telah dibentangkan oleh peserta dalam 2 peringkat saringan yang telah diadakan, antaranya termasuklah idea alat mengutip buah lerai, mesin rumput biojisim, ‘shelter foam’ dan beberapa idea perniagaan atas talian.


“Kita akan memilih empat kumpulan terbaik untuk ke peringkat akhir bagi merebut hadiah utama berjumlah RM100,000 dalam bentuk modal perniagaan.


“Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) juga akan memilih produk terbaik untuk dikomersialkan, pemenang juga akan didaftarkan dengan sebuah syarikat bagi tujuan pemasaran produk dan akan dilantik sebagai pemegang saham dalam syarikat berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika hadir ke sesi saringan kedua pertandingan berkenaan.


Hadir sama, Pengarah Seranta Felda Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohammad Khairuddin Mohammad dan Pengarah Bahagian Pembangunan Mahasiswa Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Madya Dr Sopian Bujang.


Pertandingan itu disertai 16 kumpulan yang mewakili 10 buah universiti tempatan di mana setiap kumpulan terdiri daripada tiga peserta di kalangan Generasi Felda.


Selain itu, Rozali turut melahirkan penghargaan khususnya kepada setiap peserta yang disifatkannya bersungguh-sungguh membuat kajian mencari idea perniagaan baharu untuk dipertandingkan.


“Kita juga berterima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan Seranta Felda yang menyokong penuh pertandingan dan program yang dianjurkan oleh kluster ini.


“Diharap program seumpama ini dapat diteruskan dengan penganjuran yang lebih baik di masa akan datang bagi melahirkan generasi muda Felda yang berjaya seterusnya membantu hasrat kerajaan persekutuan merealisasikan agenda Transformasi Nasional 2050 (TN2050),” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]