Hajat duduki SPM tidak kesampaian

in Edisi by


KUANTAN – Hasrat seorang remaja untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) beberapa hari lagi tidak kesampaian selepas dikesan mengalami ketumbuhan dalam otak lebih sebulan lalu.


Ng Hui Yee, 17, yang periang, aktif dan ceria itu kini berubah 100 peratus.


Dia tidak mampu berdiri kerana kehilangan imbangan badan dan fizikal yang kian susut memperlihatkan penderitaan ditanggungnya.


Anak bongsu daripada tiga beradik bagi pasangan Ng Thiam Chai,50 dan Wee Kim Leen, 46 itu kini terlantar dan memerlukan penjagaan rapi daripada keluarganya akibat ketumbuhan tersebut.


Thiam Chai berkata, anaknya tidak mengalami sebarang penyakit sebelum ini dan pada peringkat awal mengadu sakit kepala dan tidak dapat tidur pada waktu malam sejak awal September lalu.


“Selain itu dia sering terlihat pelbagai imej,berhalunasasi dan memang ada juga terfikir kerana gangguan halus.Selepas itu dia langsung tidak boleh berdiri  dan pertuturannya terjejas.


“Kemudian saya bawa ke klinik dan dari situ keadaan anak dirujuk ke pakar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan hasil pemeriksaan terdapat ketumbuhan sebesar 4 sentimeter (sm),’katanya kepada Sinar Harian semalam.


Remaja itu ditemui ketika kunjungan Adun Teruntum, Sim Chon Siang di rumahnya yang terletak di Lorong Selamat 27 di semalam.


Menurutnya, tahap penyakit dihidapi anaknya masih belum diketahui sepenuhnya kerana masih menunggu waktu rawatan di Hospital Kuala Lumpur.


“Tetapi saya ada rujuk ke hospital swasta dan dimaklumkan perlu menjalani beberapa rawatan dan dimaklumkan kos lebih RM150,000 selain kos tambahan selepas rawatan.


“Memang keluarga saya tak mampu kerana kini isteri dan anak kedua pun terpaksa berhenti kerja untuk menjaga Hui Yee.


“Saya pun akan berhenti kerja dalam tempoh terdekat dan hanya berharap kepada anak sulung yang bekerja sebagai perunding bebas,” katanya yang bertugas di bahagian khidmat pelanggan di sebuah syarikat di sini.


Mengakui terkejut dan sedih dengan nasib yang menimpa anak bongsunya, dia dan isterinya tidak mahu berputus asa dan akan memberikan yang terbaik buat Hui Yee.


“Siapa tak sedih, sebelum ini dia sihat, ceria dan penghibur hati keluarga selain harapan keluarga, malah hingga kini Hui Yee asyik bertanya untuk ke sekolah dan ingin menduduki SPM.


“Kami sekeluarga berharap dan berdoa supaya anak saya sembuh sepenuhnya dan menggapai impiannya bergelar seorang pereka,” katanya.


Sementara itu, Chon Siang berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib remaja terbabit dan meminta keluarga itu turut merujuk keadaan dan pandangan daripada beberapa hospital lain berikutan situasi yang dialami Hui Yee.


“Selain itu,kita akan mewujudkan tabung khas untuk membantu Hui Yee  kerana saya jangkakan kosnya boleh mencecah lebih RM250 ribu,” katanya.


Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan untuk meringankan beban keluarga itu boleh menghubungi Ng Yi Xiang, 22  yang juga anak kedua Thiam Chai di talian 012-9822265.

 


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]