Hanya 1.2 peratus ikrar derma organ

in Nasional by


KOTA BHARU – Hanya 1.2 peratus dari jumlah keseluruhan rakyat Malaysia berikrar sebagai penderma organ selepas kematian setakat September lalu.


Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, jumlah yang bersamaan 397,476 penderma itu masih berada pada tahap yang rendah jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan 32 juta populasi rakyat di negara ini.


“Bermula 2006 seramai 10,081 penderma berdaftar dan jumlah itu meningkat saban tahun sehingga jumlah tertinggi pendaftaran pernah dicatatkan pada 2015 iaitu 51,881.


“Setakat September tahun ini pula, hanya 14,579 penderma berbanding 37,545 pada penutup tahun lalu,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Penutupan Roadshow Pendermaan Organ Kelantan 2017 di pekarangan Mydin Mall, Kubang Kerian, di sini semalam.


Beliau berkata, pengurangan angka penderma yang semakin rendah berpunca dari salah tanggapan umum  berkait pendermaan organ menyebabkan jumlah itu rendah jika dibandingkan dengan penderma di banyak negara maju yang lain.


“Ramai yang beranggapan agama melarang menderma organ, sedangkan semua agama menganjurkan kebaikan dan amal jariah termasuk membantu kehidupan orang lain dengan menderma orang selepas meninggal dunia.


“Sebab itu, kempen ini dilaksanakan dengan tema #jom bincang bagi memberi penerangan dan maklumat yang betul kepada masyarakat agar salah tanggapan dan rasa janggal dalam isu ini dapat dikurangkan,” katanya.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]