Ibu jadi sumber inspirasi

in Edisi Utara by


KANGAR – Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor, Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Mohammad Aliff Syazuan Kamarudin, 24, menjadikan ibunya sebagai sumber inspirasi untuk berjaya.


Beliau berkata, sejak ibu dan ayahnya berpisah, ibunya banyak berkorban dalam membesarkan dia dan adiknya.


“Sekarang adalah masa untuk saya balas segala budi dan pengorbanan ibu dan saya nak gembirakan ibu kembali,”katanya yang berasal daripada Kota Bharu, Kelantan.


Aliff Syazuan yang juga graduan Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) (Kejuruteraan Sistem Elektrik) berkata, dia telah menerima tawaran untuk bekerja di sebuah syarikat di Utara, tetapi terpaksa menolak tawaran berkenaan.


“Saya terpaksa tolak sebab ibu saya sedang sakit, jadi risau nak berjauhan dengan keluarga.


“InsyaAllah, sekarang ini saya tengah tunggu keputusan dari sebuah syarikat perunding, dan hasrat saya sekarang adalah untuk bekerja terlebih dahulu sebelum sambung ke peringkat yang lebih tinggi,”katanya.


Berbicara mengenai anugerah yang diterimanya semalam, Aliff Syazuan berkata, dia tidak menyangka akan terpilih menerima anugerah terbabit.


“Saya sangat terkejut dan tak sangka sebab ramai lagi yang lebih hebat daripada saya, bagaimanapun saya bersyukur dan berterima kasih kepada UniMAP, mungkin ini rezeki saya, “katanya yang juga merupakan atlet olahraga UniMAP.


Aliff Syazuan merupakan salah seorang daripada 517 pelajar yang menerima ijazah pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UniMAP yang berlangsung di dewan Ilmu, Kampus Alam, Pauh Putra, semalam.


Istiadat konvokesyen ini dijangka berlangsung selama tiga hari sehingga 30 Oktober ini.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]