Johor dan Selangor perintis projek EnPHC

in Edisi Johor by


SEGAMAT – Sebanyak 20 klinik kesihatan dan 20 hospital di negeri Johor dan Selangor dipilih menjadi perintis projek ‘Enhanced Primary Healthcare’ (EnPHC) sebagai salah satu usaha untuk mencegah peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) di negara ini.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, projek ini akan memperkukuhkan lagi sistem kesihatan di peringkat primer dengan pendekatan dan langkah pencegahan penyakit terutamanya NCD dengan lebih proaktif.


“Kajian Sistem Kesihatan Negara (MHSR) yang dijalankan sejak dua tahun lalu bermula bulan Disember 2014 telah mendapati beberapa isu utama berkaitan sistem penyampaian kesihatan di Malaysia iaitu peningkatan NCD ini dan kematian pramatang yang boleh dielakkan.


“Sebagai contoh, penyakit diabetis di kalangan orang dewasa berumur 18 tahun ke atas di negara ini telah meningkat dari 11.6 peratus kepada 17.5 peratus bagi tempoh sembilan tahun  dari tahun 2006 hingga 2015,” katanya.


Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Perintis ‘Enhanced Primary Healthcare’ Peringkat Kebangsaan di Klinik Kesihatan Batu Anam, di sini, semalam.


Turut hadir ialah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Dr Roshaimi Merican A Rahim Merican dan Pegawai Daerah Segamat, Mohd Haffiz Ahmad.


Menurutnya, secara amnya tahap pengetahuan berkaitan kesihatan adalah tinggi di kalangan masyarakat, namun penterjemahannya iaitu membuat perubahan yang positif untuk meningkatkan status kesihatan didapati masih kurang memuaskan.


“Keadaan ini menyebabkan projek intervensi yang dilaksanakan tidak mencapai sasaran yang diharapkan dan pelaksanaan projek ini bagi mengukuhkan lagi pengendalian penyakit kronik di peringkat primes.


“Objektifnya adalah untuk membentuk satu rantaian atau sistem kesihatan yang menumpukan kepada keperluan pesakit dan melibatkan komuniti, individu serta integrase penjagaan kesihatan di setiap peringkat,” katanya.


Menurutnya, sebanyak RM26 juta telah diperuntukkan oleh Kementerian Kesihatan bagi tempoh lima tahun pertama bagi projek berkenaan yang menggunakan sistem rekod perubatan secara elektronik.


Katanya, kewujudan pangkalan data ini menjadikan sistem kesihatan lebih proaktif terutama bagi menangani kebimbangan berhubung peningkatan NCD dalam kalangan rakyat Malaysia sekali gus dapat mengurangkan risiko penyakit kronik.


“Pada peringkat awal ini, saya menyasarkan 500,000 penduduk di dua negeri ini akan menerima manfaat projek ini sebelum diperluaskan ke seluruh negara dalam tempoh tiga tahun akan datang.


“Bagi menjayakan projek ini juga, kementerian telah menambah 400 jawatan baharu selain memfokuskan kepada usaha untuk masyarakat kekal sihat, penambahbaikan proses kerja di klinik kesihatan serta jaringan rujukan ke hospital,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]