Kemalangan bukan kerana ular sawa

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Polis menafikan dakwaan kononnya seekor ular sawa jadi punca kemalangan maut di Kilometer 270.3 Lebuhraya Utara – Selatan, berhampiran Kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Seremban, di sini, petang kelmarin.


Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin sebaliknya berkata, kejadian mengorbankan pasangan warga emas berusia 62 dan 60 tahun itu tiada kaitan dengan haiwan berkenaan.


Tular di Facebook dan WhatsApp sejak semalam, ada pihak mendakwa treler tanpa muatan dari arah Selatan itu dikatakan terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan tiga kenderaan lain selepas terlanggar ular sawa dan bukan akibat tayar meletup.


“Kemalangan itu bukan berpunca seperti didakwa. Bagaimanapun, kita masih menyiasat punca kejadian termasuk mencari pemandu lori bagi membantu siasatan,” katanya di sini, semalam.


Sehubungan itu, beliau meminta individu bernama P Kanes, 29, dengan alamat terakhir di Jalan Tembusu, Bukit Rotan, Selangor yang dipercayai merupakan pemandu treler terbabit, tampil membantu siasatan.


Ini kerana, selepas kejadian, pemandu lori terbabit dipercayai melarikan diri.


“Sila hadir ke Balai Polis Nilai untuk bantu kita. Orang ramai yang ada sebarang maklumat berkaitan juga boleh salurkan pada kita.


“Sila hubungi Ketua Bahagian Perundangan Trafik IPD Nilai, Asisten Superintendan Mohammad Nasrun Ab Rahman di talian 019-3468170.  Boleh juga hubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Syafiq Azmy di talian 014-5082450 atau hubungi Balai Polis Nilai di talian 06-7991222,” katanya.


Kemalangan kira-kira 5.30 petang itu membabitkan masing-masing sebuah treler, Perodua Alza, Proton Waja dan Proton Preve.


Lau Lian Huat, 62, dan Lim Ah Gim, 60, yang menaiki Perodua Alza maut di tempat kejadian, manakala pemandu Proton Waja, Mohammad Tahir Othman, 51, patah tulang rusuk dan kaki kiri.


Pemandu Proton Preve, Azian Saleh, 45, dan penumpang, Abdul Rahim Ramlee, 52, pula hanya luka calar pada muka.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]