Laporan aspirasi belia TN50 dilancar Januari

in Nasional by


KUCHING – Satu laporan aspirasi belia berkaitan Transformasi Nasional 2050 (TN50) akan dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada bulan Januari ini, yang akan menjadi satu daripada asas kepada dokumen dasar TN50 yang dijadual akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sambutan Hari Malaysia tahun depan.


Khairy berkata sepertimana lain-lain kementerian yang melaksanakan libat urus dengan pemegang taruh masing-masing untuk dihimpunkan dalam laporan mereka nanti, Kementerian Belia dan Sukan, telah berhubung dengan 1.5 juta pemegang taruhnya yang terdiri daripada kalangan belia bagi tujuan itu.


Beliau berkata sasaran untuk mendengar suara aspirasi 1.5 juta belia berkaitan TN50 tahun ini telah dicapai oleh pihaknya sejak beberapa bulan lepas, namun aktiviti libat urus tetap diteruskan bagi menjadikan laporan itu lebih menyeluruh.


“Secara kesimpulannya aspirasi kebanyakan anak-anak muda ini berkisar kepada hasrat melahirkan sebuah negara yang bersatu, adil dan saksama untuk semua, dan tiada batas etnik, agama, sempadan kawasan, mahupun apa jua kelompok ketinggalan.


Mereka mahukan negara yang tidak meninggalkan hutang besar, boleh bersaing di peringkat global, mampan dan semua rakyat memiliki akauntabiliti dalam setiap aspek kehidupan,” katanya dalam sidang media di sini.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi Randau TN50 Begulai Enggau dengan lebih 300 belia yang rata-rata terdiri daripada kalangan pelajar sekolah di Dewan Lagenda, Kampung Budaya Sarawak di Santubong, kira-kira 30km dari sini petang ini.


Khairy berkata TN50 bukan bermakna mereka hanya mengutarakan hasrat yang diimpikan dalam tempoh lebih tiga dekad akan datang samata-mata, tetapi ia juga sebenarnya bertujuan melakar laluan yang perlu dirintis mulai dari sekarang oleh semua pihak bersama berganding bahu dalam usaha merealisasikannya.


Di pihak kerajaan, beliau memberi contoh hasrat orang ramai meluangkan lebih banyak masa berkualiti dengan keluarga, telah mula diusahakan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kemudahan pakej balik kerja awal sejam bagi wanita mengandung dan juga suami, pada pembentangan bajet Jumaat lepas, selain cadangan kemudahan cuti 90 hari bagi wanita wanita bersalin di sektor swasta.


Beliau turut memberi contoh usaha kerajaan menangani masalah ibu bapa muda bekerja yang menghadapi masalah penjagaan anak-anak, apabila bajet Jumaat lepas turut mewajibkan semua bangunan pejabat yang baru untuk menyediakan pusat jagaan kanak-kanak, bermula di Kuala Lumpur.


Khairy berkata berdasarkan sesi hari ini, beliau melihat kebanyakan belia di Sarawak cukup teruja dengan konsep digital ekonomi yang sering diketengahkan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Dr Abang Johari Tun Openg.


Merujuk kepada perkara itu, beliau berkata akhirnya apa yang penting dalam perkara ini ialah soal kesalinghubungan yang dibangkitkan para belia jelas bukan hanya merujuk kepada infrastruktur seperti jalan raya, sekolah, teknologi dan sebagainya, tapi juga merujuk kepada soal ketersambungan yang berkaitan kecekapan perkhidmatan jalur lebar. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]