Mayat lelaki dengan kesan jerutan di leher ditemui

in Uncategorized by


IPOH – Mayat lelaki warga Indonesia ditemui dengan kesan jerutan di leher di tepi semak di Bandar Baru Medan Ipoh, di sini, semalam.


Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Abdul Rani Alias berkata, mayat lelaki berusia 20 tahun itu ditemui oleh orang awam di bawah pokok kira-kira jam 8.15 pagi sebelum melaporkannya kepada pihak polis.


“Hasil pemeriksaan oleh Pakar Patologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menemui kesan jerutan di leher mangsa, sekali gus mengesahkan punca kematian akibat gantung diri.


“Dipercayai mayat mangsa dibuang di kawasan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.


Katanya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sedang diteliti di kawasan berkenaan namun kebanyakan kedai hanya beroperasi pada waktu petang


Dalam pada itu, beliau berkata, polis turut menjumpai pasport lelaki itu berhampiran dan beg duit mengandungi wang tunai berjumlah RM39.


“Semakan menunjukkan mangsa telah masuk ke negara ini pada 21 Oktober lalu melalui Imigresen Port Dickson, Negeri Sembilan.


“Mayat lelaki itu kemudiannya dibawa ke HRPB untuk bedah siasat,” katanya.


Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu hasil laporan bedah siasat.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]