Pemula niaga puji Bajet 2018

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Syarikat start-up atau pemula niaga Malaysia menyambut baik Bajet 2018 yang memberi tumpuan kepada digital, tetapi berpendapat penyediaan infrastruktur digital yang mencukupi dan dasar yang dilaksanakan dengan baik tetap menjadi kebimbangan utama bagi negara dalam memenuhi aspirasi status negara berpendapatan tinggi pada 2020.


Pengasas/Ketua Pegawai Eksekutif Talk Car Asia Sdn Bhd, Anthony Loh Li Cheng, 33, berkata inisiatif Industri 4.0 di bawah bajet akan menjadikan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan lebih berdaya saing, menjadikan ekosistem digital yang lebih lengkap.


“Sebagai contoh, elaun modal untuk peralatan ICT akan mendorong pemula niaga seperti saya untuk menaik taraf sistem perisian komputer kami dan secara tidak langsung, menggalakkan tenaga kerja tempatan lebih cekap IT,” katanya kepada Bernama.


Semasa ditanya sama ada langkah itu akan membantu Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2020, Loh berkata faktor-faktor seperti prasarana Internet yang lebih baik, perkhidmatan logistik dan pengangkutan yang berkesan, serta sistem pembayaran dalam talian yang selamat akan menjadi satu kelebihan kepada negara untuk merealisasikan sasaran ini.


“Sebagai contoh, lihat China, pendigitalian telah membantu negara itu membangun dengan pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi proses itu mengambil masa sekurang-kurangnya satu dekad untuk berubah menjadi gergasi ekonomi hari ini,” katanya.


Bagaimanapun, Loh percaya sasaran status berpendapatan tinggi dapat dicapai jika Malaysia dilengkapi sepenuhnya dengan faktor-faktor yang disebutkan di atas.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengulangi sasaran kerajaan menjadikan Malaysia ekonomi maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020 semasa membentangkan Bajet 2018 di Dewan Negara pada Jumaat.


Pengumuman Najib itu sejajar dengan Program Transformasi Negara, yang diperkenalkan pada 2010, untuk membantu negara mencapai status negara maju menjelang 2020.


Pendapat Loh itu juga disokong Datuk Chevy Beh, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Bookdoc, pemula niaga teknologi kesihatan tempatan, yang berkata bajet berkenaan menunjukkan kerajaan tetap relevan dan mengikuti aliran global.


“Bagaimanapun, kerajaan perlu memastikan dasar yang ditetapkan akan dilaksanakan dengan baik, dan pada masa yang sama, mengadakan lebih banyak dialog dengan pemain industri untuk membantu melaksanakan dasar dengan lebih berkesan dan cekap,” katanya.


Beh berkata bajet tersebut yang menekankan pada industri 4.0 dan ekonomi digital untuk pertama kalinya, pasti akan memberi sokongan kepada pemula niaga golongan muda yang kebanyakannya terpaksa bergelut untuk terus bertahan.


“Sekarang, mereka boleh melabur dalam ICT untuk terus berdaya saing dan mengautomasikan lebih banyak proses, serta meningkatkan perniagaan mereka dengan memanfaatkan ICT,” katanya.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]