Pensijilan khusus bagi kenal pasti Musang King

in Nasional by


RAUB – Sistem pensijilan ke atas buah durian khususnya durian Musang King yang dieksport ke negara luar akan diperkenal oleh Kementarian Pertanian dan Industri Asas Tani selaras dengan usaha menembusi pasaran China dengan mengeksport secara terus raja buah itu.


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kaedah pensijilan berkenaan amat signifikan dalam memastikan ketulenan buah durian Musang King yang dieksport sekali gus memenuhi kehendak pelanggan yang membayar dengan harga yang tinggi.


Menurutnya, dalam melaksanakan pendekatan berkenaan pihaknya juga akan membangunkan sistem aplikasi khas dan mendaftar durian yang ditanam di negara ini.


“Di sini saya minta Jabatan Pertanian mempertingkatkan keupayaan teknologinya supaya setiap Musang King yang sampai ke China ada persijilan yang apabila diimbas penguna dapat melihat Musang King itu daripada mana seperti dari Hulu Dong Raub, Malaysia seterusnya malah  dapat melihat gambar pokok mana.


“Ini merupakan perkembangan masa hadapan diikuti semua orang yang mana nilai sesuatu buah durian itu bukan sahaja pada kualiti buahnya tetapi pensijilan sepertimana emas kalau emas itu tidak ada sijil nilai lakunya kurang,” katanya pada sidang media selepas  program penanaman pokok durian Musang King yang ke 500,000 di Kluster Durian Raub di Dewan Serbaguna Kampung Pamah Rawas di sini, hari ini.

Shabery (tiga kiri) menyiram pokok durian musang king sebagai simbolik perasmian program penanaman pokok durian Musang King yang ke 500,000 di Kluster Durian Raub di sini, hari ini.


Turut hadir sama, Adun Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin dan Adun Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram.


Dalam pada itu, Shabery berkata melalui apikasi itu pengguna bukan sahaja mengetahui ketulenan buah Musang King yang dibeli tetapi mendapat pelbagai maklumat lain seperti tarikh pokok ditanam dan asal usul pokok berkenaan yang turut boleh dikesan melalui Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).


“Pada masa ini kita telah pun mendaftar kira-kira 1.5 juta pokok durian di seluruh negara dan saya menggesa mereka yang belum mendaftar supaya segera berbuat demikian kerana untuk tujuan eksport durian yang berdaftar mempunyai nilai yang lebih tinggi,”katanya.


Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan berusaha mengekport terus durian Musang King ke pasaran China yang pada masa ini perlu melalui negara ketiga seperti Singapura dan Hong Kong.


Menurutnya, pihaknya akan meggunakan program promosi iaitu Nanning Durian Festival di China pada 3 hingga 5 November ini bagi memperluaskan pasaran durian ke negara berkenaan.


“Daerah Raub yang merupakan Kluster Pengeluaran Durian akan menjadi pengeluar Musang King terbesar di negara ini dalam memenuhi permintaan pasaran antarabangsa.


“Setakat ini terdapat 370 pengeluar dan penanam durian di daerah Raub membabitkan keluasan tanaman 11,152.69 hektar di Batu Talam, Dong, Gali, Hulu Dong, Sega, Semantan Hulu dan Tras,”katanya


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]