Ramai miliki bakat tersendiri

in Edisi Utara by


KANGAR- Uji bakat model Hijabista di Tapak Festkon UniMAP, semalam mendapat sambutan hangat dari para gadis bertudung Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).


Program yang mendapat kerjasama dari Karangkraf ini bertujuan untuk mencari model berhijab dalam kalangan penduduk utara terutamanya pelajar UniMAP sendiri.


Editor Majalah Hijabista, Siti Suria Hassan berkata, kebanyakan peserta yang hadir agak malu-malu pada awalnya.


“Tapi Alhamdulillah, setelah diberi penerangan dan pendedahan, mereka berjaya lakukan.


“Ramai yang minat sebenarnya, dan daripada gaya mereka ketika di hadapan kamera, mereka ada bakat tersendiri,”katanya.


Menurutnya, program berkenaan bermula pada jam 12.30 tengah hari dan berakhir pada jam 4 petang.


“Kita juga berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu berjaya mendapat penyertaan seramai 100 peserta.


“Sebelum ini, program sebegini kita hanya adakan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.Tapi hari ini kita buka peluang kepada orang utara terutamanya pelajar di UniMAP ini.


“Selepas ini sasaran kita adalah para hijabi di negeri-negeri lain, dan In shaa Allah sekiranya ada lagi kolaborasi bersama klien, kita akan cuba pergi lebih jauh,”katanya.


Sementara itu, seorang peserta, Aida Zulaikha Akmar Harfidzi, 21, pelajar Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu, berkata, pemakaian seseorang turut melambangkan personaliti dirinya.


“Aida sendiri pelajar media, jadi Aida perlu tahu apa pakaian yang sesuai untuk sesuatu majlis.


“Aida memang gadis berhijab dan selalunya kalau ke kelas Aida suka pakai selendang ikut gaya terkini.


“Tapi kalau nak keluar santai-santai, Aida suka gaya yang mudah dan biasa-biasa saja,”katanya.


Seorang lagi peserta, Putri Eva Natasha Ahmad, 20, pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Bio Perubatan berkata, dia hadir ke sesi uji bakat berkenaan kerana minat.


“Saya aktif dalam kelab penyiaran dan kebudayaan, jadi selalu kalau jadi pengacara majlis atau ada majlis tertentu, saya perlu bijak menggayakan pakaian saya.


“ InsyaAllah kalau ada rezeki saya menjadi model Hijabista, saya tak akan tolak, apa salahnya cuba benda baharu.


“Saya boleh kenal rakan-rakan baharu dan juga menguji tahap kemampuan saya,”katanya.


Sementara itu, program Fitness Talk bersama Aizat Razak pada sebelah paginya turut mendapat tumpuan.


Dengan kehadiran mencecah 80 peserta, program berkenaan dimonopoli oleh pelajar perempuan yang rata-ratanya teruja mendapatkan tips sihat dari Ikon Jom Kurus 1 Malaysia berkenaan.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]