Tukang kebun maut dilanggar ketika bekerja

in Semasa by


KEMAMAN – Seorang tukang kebun yang sedang bekerja maut setelah dirempuh sebuah van dalam kejadian di tapak letak kereta Kelab Golf dan Rekreasi Petronas (KGRP) Kerteh, kira-kira jam 10 pagi tadi.


Mangsa, Hasim Awang, 58, yang mengalami kecederaan parah pada bahagian dalaman badan mengembuskan nafas akhir di lokasi kejadian.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim yang mengesahkan kejadian itu berkata, berdasarkan siasatan awal di tempat kejadian, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila seorang lelaki berusia 20 tahun mahu mengalihkan van jenis Nissan Venette dari lobi KGRP ke tempat parkir.


“Namun, gara-gara pemandu van itu terlepas clutch, kenderaan itu hilang kawalan seterusnya terlanggar pengadang jalan di sebelah kanan sebelum merempuh mangsa yang sedang bekerja di tepi tempat parkir kereta sebelah kanan.


“Berikutan itu mangsa yang beralamat di Taman Perumahan Mampu Milik Kampung Baru Kerteh meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.


Bagaimanapun, kata beliau, pemandu van yang beralamat di Paka, Dungun dan dihantar ke Klinik Kesihatan Kerteh untuk mendapatkan rawatan sejurus kemalangan itu disahkan tidak mengalami apa-apa kecederaan.


Menurut Mohd Said, mayat mangsa pula dihantar ke Hospital Kemaman di Chukai untuk proses selanjutnya sebelum dituntut keluarga untuk pengebumian.


Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]