Wanita cari ibu kandung anak angkat

in Edisi Utara by


SUNGAI PETANI – Seorang wanita sedang mencari  ibu kandung anak angkatnya yang berumur tiga tahun bagi membolehkannya melengkapkan proses dokumentasi pengambilan kanak-kanak perempuan itu sebagai anak angkatnya.


Saripah Aminah Baharuddin, 46, berkata dia berhasrat mengambil kanak-kanak itu Nurul Marsya Zahrina Abdullah sebagai anak angkat secara sah dan berharap ibu kandung kanak-kanak itu Mazlina Jeman, 25, tampil menghubunginya.


“Nurul Marsya Zahrina dilahirkan di Hospital Batu Gajah, Perak, dan diserahkan oleh ibu kandung kepada saya sejak berusia tujuh hari, bersama sijil kelahirannya,” katanya kepada pemberita di rumahnya di sini, hari ini.


Menurutnya, dia pernah  berkunjung ke rumah keluarga Mazlina di Bedong, di sini namun dimaklumkan bahawa Mazlina sudah lama tidak pulang iaitu sejak kira-kira tiga tahun lalu.


Saripah Aminah berkata dia yang merujuk perkara itu di Pejabat Pendaftaran dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diminta mencari ibu kandung kanak-kanak itu bagi melengkapkan dokumentasi proses berkenaan.


“Sebab itu saya merayu agar Mazlina tampil atau menghubungi saya di talian 012-5416607, bagi memudahkan urusan ini demi masa depan Nurul Marsya Zahrina supaya lebih terjamin,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]